Jabatan Imigresen Minta Irene Kemuka Bukti Dakwaan Salah Laku Pegawai

Diterbitkan: Rabu, 9 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen meminta supaya Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez mengemukakan bukti berhubung dakwaan terhadap salah laku pegawainya yang disiarkan dalam akhbar The Jakarta Post pada Isnin.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, setakat ini tiada aduan yang diterima mengenai majikan yang melanggar undang-undang imigresen kerana mengupah pekerja yang tiada dokumen sah, tetapi tidak dihukum kerana membayar pegawainya (rasuah).

“Setakat ini, tiada laporan (seperti yang didakwa) diterima oleh Jabatan Imigresen. Irene perlu mengemukakan bukti berhubung dakwaannya itu.

“Jabatan Imigresen akan menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang dibuat. Semua orang boleh cakap (dakwa) macam-macam tetapi biarlah ada bukti,” katanya kepada mStar Online, Selasa.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Irene Irene dalam satu temu bual berbentuk soal jawab yang disiarkan oleh The Jakarta Post pada Isnin bahawa ramai majikan melanggar undang-undang imigresen kerana mengupah pekerja yang tiada dokumen sah, tetapi tidak dihukum kerana mereka membayar polis dan pegawai imigresen dalam pakatan sulit untuk menyalahkan pekerja.

Menurut Irene, pihaknya merekodkan lebih 1,500 kes membabitkan pekerja tanpa dokumen dan 500 kes melibatkan majikan melanggar undang-undang imigresen pada tahun 2011.

Kebanyakan pekerja tanpa izin dihantar pulang selepas menjalani hukuman penjara sementara majikan bebas daripada tuduhan, kata Irene lagi.

Alias berkata, jika dakwaan Irene itu adalah benar, Jabatan Imigresen akan mengenakan tindakan tegas terhadap pihak majikan dan pegawai jabatannya.

“Kami akan menyiasat. Jika benar, kami akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap majikan kerana merasuah pegawai kami.

“Kami juga akan mengenakan tindakan tegas terhadap pegawai terbabit di bawah Lembaga Tata Tertib jabatan. Mereka juga akan diserahkan kepada SPRM untuk siasatan mengenainya kerana menerima rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Alias turut membidas kenyataan Irene dalam The Jakarta Post mengenai Program 6P atau Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin dianggap sebagai sesuatu yang menipu.

Alias berkata, Jabatan Imigresen tidak mengutip sebarang bayaran untuk memproses atau mengeluarkan dokumen terhadap pekerja yang ditahan.

“Jika wujud pembayaran, ia adalah penipuan yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan Program 6P demi mengaut keuntungan.

“Jadi, mereka yang tidak bertanggungjawablah menipu, bukannya Program 6P,” katanya.

Menurut Alias, Program 6P bukan sesuatu yang menipu tetapi sebenarnya dianggap berjaya kerana telah mendaftar 1.3 juta pekerja dan pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Mereka (Pati) berada di negara ini secara tidak sah, dan kami memberi peluang kepada mereka sama ada untuk terus bekerja di sini atau pulang ke negara asal masing-masing, tetapi perlu melalui Program 6P,” katanya.

Ketika ditanya adakah Jabatan Imigresen akan mengenakan tindakan terhadap Irene sekiranya dakwaan beliau tidak benar, Alias berkata: “Kita serahkan kepada Wisma Putra untuk menilai tindak-tanduk rakyat Malaysia seperti Irene yang membuat tohmahan mengenai Malaysia kepada negara asing.”

Irene mengulas tentang Program 6P yang dilaksana kerajaan Malaysia dengan mengatakan: “6P adalah akronim untuk penipuan dan bukan pendaftaran, pemutihan, pengusiran, pemantauan, penguatkuasaan dan pengampunan.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan