Usul Heret Lim Ke Jawatankuasa Disiplin Ditolak, Adun BN Keluar Dewan

Diterbitkan: Selasa, 8 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kesemua 11 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) pada Selasa bertindak keluar daripada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila usul meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng dihadapkan ke Jawatankuasa Hak Kebebasan Dewan ditolak oleh Speaker Datuk Abdul Halim Hussain.

Usul yang dicadangkan oleh Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) dan disokong oleh kesemua wakil BN itu adalah berikutan kenyataan Lim yang didakwa berbaur hasutan dan perkauman berkaitan isu merobohkan kuil di kawasan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), pada persidangan DUN semalam.

Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) berkata tindakan Speaker menolak usul mereka tanpa membuat sebarang pertimbangan menunjukkan bahawa tiada lagi demokrasi dan beliau telah hilang keyakinan terhadap DUN.

"Semua orang dengar kenyataan itu semalam. Hari ini ubah pula (kata) terancam. Ini adalah satu pembohongan yang sangat besar oleh seorang Ketua Menteri dalam dewan yang mulia ini. "Apa gunanya kami duduk dalam dewan...speaker juga kononnya melihat (kenyataan itu) dalam 'verbatim' (catatan persidangan)...kalau dalam dewan boleh bohong, apa lagi kepada rakyat," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, sebelum bermula sesi penggulungan usul ucapan terima kasih sempena perasmian DUN oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima DUN Ke-12, Jasmin mencadangkan supaya Lim dihadapkan ke Jawatankuasa Hak Kebebasan Dewan mengikut Peraturan 34.8.

Bagaimanapun, usul tersebut ditolak Abdul Halim atas alasan Lim tidak memaksudkan bahawa semua kuil akan diroboh sebaliknya kuil akan terancam.

"Apa yang disebut Ketua Menteri ialah saya rasa kuil Hindu akan terancam, bukan semua kuil akan dirobohkan. Kenyataan Ketua Menteri dah jelas, saya buat keputusan menolak usul ini," katanya.

Jasmin dan beberapa wakil BN yang tidak berpuas hati dengan keputusan speaker itu meminta supaya usul itu disegerakan dan dipertimbangkan sebelum keputusan muktamad dibuat.

R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) kemudian mencelah dengan menyatakan usul itu tidak perlu disegerakan kerana terdapat wakil rakyat yang membantah kerana sesuatu usul perlu mendapat persetujuan majoriti anggota dewan.

Azhar kemudiannya bangun menyatakan pihaknya akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kenyataan Lim itu, sebelum bertindak keluar dewan bersama 10 wakil BN yang lain.

Bercakap kepada pemberita di luar dewan, Azhar menggesa Lim menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf.

Katanya, beliau akan membuat laporan polis selewat-lewatnya esok setelah menggumpul semua maklumat yang diperlukan. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 28 November 2014 12:15 AM

Anak Doakan Nurul Wahab Dapat Bayi Kembar

Khamis, 27 November 2014 2:11 PM

Syabu Dalam Ekzos Bernilai RM4.1 Juta Dirampas

Rabu, 26 November 2014 10:44 PM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 3)

Selasa, 25 November 2014 1:00 PM

Sejauh Mana Anda Tahu? (Bahagian 2)

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan