Universiti Jangan Asyik Kejar Ranking Sehingga Ketepi Keperluan Negara - Khaled

Diterbitkan: Selasa, 8 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Universiti-universiti di negara ini tidak boleh mengetepikan keperluan dan kehendak negara dalam keghairahan mengejar ‘sistem ranking’ sebagai satu kaedah pengkomersilan institusi pengajian tinggi (IPT) dunia, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, sebagai institusi yang melahirkan generasi berpotensi, IPT perlu memenuhi sasaran penubuhannya serta lebih menumpukan perhatian kepada kualiti dan keperluan pelajar, rakyat dan negara.

IPT, katanya, hanya perlu menggunakan sistem ranking sebagai satu bentuk rujukan untuk mengetahui kedudukan semasa universiti berkenaan.

"Saya tak nak universiti kita gila ranking, semua nak masuk. Akhirnya tak memenuhi keperluan dan kehendak negara. Kita tak mahu taksub dengan ranking sebaliknya kita gunakan ranking itu untuk mengetahui kedudukan universiti tersebut.

"Tidak ada makna sesebuah universiti memenuhi kedudukan ranking yang begitu baik, tetapi ia tidak dapat hendak menyumbang secara mantap kepada apa yang diperlukan negara," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku inisiatif-inisiatif terpilih APEX, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini Selasa.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ab Rahim Md Noor dan Naib Canselor USM, Prof Datuk Omar Osman.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta IPT di negara ini berperanan untuk mendokong pembangunan inovasi, penyelidikan dan penemuan baru dan bukannya mengutamakan aspek ekonomi seperti institusi perbankan.

"Universiti bukan objek pengeluaran dan instrumen perdagangan. Saya cukup bimbang jika kita gagal mengimbangi peranan strategik universiti maka ia akan menyebabkan kesusutan nilai aktiviti utama universiti seperti penyelidikan asas dalam sains, teknologi dan kemanusiaan, pengajaran dan khidmat bakti kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata, IPT harus memikirkan dengan serius untuk memperkenalkan konsep pendidikan liberal dan multi disiplin sebagai strategi untuk melahirkan siswazah yang seimbang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPT sedia membantu menempatkan pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN), yang dilaporkan menghadapi masalah kewangan sehingga membebankan pelajar dan kakitangan, ke institusi pengajian tinggi lain. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan