Shah Alam Akan Dibangunkan Sebagai Bandar Raya Islamik

Diterbitkan: Selasa, 8 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tanah seluas 50 ekar di Seksyen 5, Shah Alam akan dibangunkan menjadi bandar raya Islam pertama di Selangor dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata projek pembangunan tersebut dijangka menelan belanja sekitar RM2 hingga 3 bilion.

"Kita mahu beri nafas baru dari segi seni bina Islam kepada bandar Shah Alam.

"Bukan itu sahaja kedudukannnya yang strategik dapat menghubungkan masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan Dewan Undangan Negeri, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, intstitusi pengajian tinggi, pusat komersil, hospital dan kemudahan awam yang terdapat di kawasan sekitarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel pembangunan Bandar Raya Islam Shah Alam, di Hotel Saujana pada Selasa.

Abdul Khalid berkata Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan telah memanggil beberapa arkitek dan jururunding untuk berbincang mengenai pelan serta kerangka pembinaan yang sesuai bagi projek tersebut.

"Kita jangka sebelum penghujung tahun ini kita dapat siapkan kerangka dan model contoh bandar raya Islam ini. Setakat ini semuanya masih diperingkat percambahan idea dan pelan pembinaan.

"Kita juga masih belum tetapkan tempoh masa untuk projek ini disiapkan. Namun kita telah bergerak kehadapan dan ini bukanlah satu angan-angan kerana idea-idea yang diperolehi sedang diteliti. Ia telah dimulakan dengan baik," katanya.

Menurutnya, potensi pasaran projek tersebut adalah tinggi dan kerajaan menjangkakan projek ini akan memberi manfaat kepada rakyat.

"Konsepnya Shah Alam mesti ditransformasikan menjadi sebuah bandar raya Islamik.Projek ini akan memberikan impak bukan sahaja kepada Shah Alam malah seluruh Lembah Klang apabila ia siap sepenuhnya.

"Saya harap kita boleh kembangkan idea ini dengan menggunakan kebijaksaan arkitek Islam yang telah membawa perubahan besar kepada perubahan tamadun dunia," katanya.

Beliau berkata dengan kewujudan Shah Alam sebagai bandar raya Islam secara tidak langsung dapat mengembalikan zaman kegemilangan seni bina Islam seperti di Baghdad (Iraq), Istanbul (Turki), Kaherah (Mesir) dan Qom Iran.

"Konsep bandar raya Islamik ialah satu bandar raya yang akan diduduki oleh umat Islam dan dapat berfungsi dengan jayanya.

"Apa yang perlu adalah kita bangkitkan semula zaman kegemilangan seni bina Islam dan saya rasa kita agak ketinggalan dari segi pelaksanannya," katanya.

Jelasnya fokus utama pembangunan bandar raya Islam tersebut adalah menjadikan masjid sebagai destinasi tumpuan utama.

"Apa pun kita lakukan kita jadikan masjid sebagai tumpuan utama. Kita boleh berjemaah bersama dan selepas itu kita tunaikan kerja-kerja kita, kerana ia matlamat utama dalam syariat Islam.

"Shah Alam akan jadi sebuah bandar raya yang lengkap bukan sahaja sebagai tempat tinggal malah kita ada universiti, hospital, pelbagai kemudahan awam,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan