Polis Ada Asas Tahan Pelajar Terlibat Dengan Bersih 3.0 - Khaled Nordin

Diterbitkan: Selasa, 8 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANJUNG MALIM: Polis mempunyai asas untuk menahan mana-mana penuntut universiti yang melanggar undang-undang dan tidak akan mengambil tindakan tanpa sebarang bukti kukuh, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata setiap penuntut institut pengajian tinggi swasta atau awam perlu mematuhi undang-undang sama ada di dalam atau luar kampus dan jika mereka melanggar undang-undang, pihak berkuasa termasuk pihak universiti dan polis boleh mengambil tindakan sewajarnya.

"Apa sahaja mereka lakukan, mereka kena patuhi segala undang-undang yang terdapat. Mereka terdedah kepada apa sahaja tindakan (undang-undang) kalau mereka langgar undang-undang.

"Kalau ditangkap, ditahan, polis ada asas untuk buat sedemikian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi khas Istiadat Konvokesyen ke-14 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, Isnin.

Mohamed Khaled mengulas penahanan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dua hari lepas oleh polis bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan di ibu negara, 28 April lepas.

Pelajar tersebut, Khalid Mohd Ismath, 22, kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Sebelum ini, polis mengedarkan 91 gambar individu yang boleh membantu siasatan berhubung insiden kekecohan dan keganasan semasa perhimpunan 28 April lepas, dan daripada jumlah itu, 22 orang daripadanya dipercayai pelajar institusi pengajian tinggi.

Ketika ditanya mengenai bentuk tindakan yang boleh diambil pihak universiti, Mohamed Khaled berkata ia bergantung kepada budi bicara universiti berkenaan dan tindakan boleh diambil jika universiti merasakan penuntut terbabit telah menjejaskan nama baik dan reputasi institusi pengajian itu.

"Bagi universiti, setiap kes itu ada perbezaan tindakan antara satu kes dengan kes yang lain. Ikut tahap kesalahan. Saya tidak mahu komen apa yang dilakukan oleh pelajar itu. Saya percaya tindakan (penahanan) yang dilakukan oleh polis dan tindakan lanjut (hukuman) sedang dipertimbangkan pihak universiti," katanya.

Sabtu lepas, peserta perhimpunan itu bukan hanya merempuh halangan polis untuk memasuki Dataran Merdeka, tetapi juga melanggar perintah mahkamah yang tidak membenarkan orang awam berada di kawasan itu antara 28 April dan 1 Mei. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan