Masyarakat Sikh Diberikan Cuti Tanpa Rekod Sempena Hari Vaisakhi Bermula 2013 - PM

Diterbitkan: Selasa, 8 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Isnin mengumumkan pelbagai hadiah istimewa untuk masyarakat Sikh membabitkan peruntukan keseluruhan RM4 juta bagi meningkatkan kualiti hidup termasuk bantuan keagamaan, pendidikan dan sosial, sempena sambutan Hari Vaisakhi.

Lebih bermakna, Perdana Menteri turut mengumumkan cuti tanpa rekod kepada penjawat awam berbangsa Sikh bagi memberi peluang kepada mereka melaksanakan tanggungjawab pada hari keagamaan itu yang disambut pada 14 April setiap tahun.

Bagi mengiktiraf peranan yang dimainkan rumah-rumah ibadat, Perdana Menteri mengumumkan pemberian RM1.5 juta kepada Majlis Gurdwara Malaysia pada tahun ini seperti yang diberikan pada 2011.

Melalui bantuan kewangan itu Najib berharap gurdwara di seluruh Malaysia dapat diselenggara dengan baik dan seterusnya membawa kepada suasana yang lebih sesuai dan selesa bagi penganut Sikh untuk mengamalkan aktiviti keagamaan mereka.

"Tambahan pula, saya difahamkan bahawa dana ini turut digunakan untuk membantu gurdwara yang mengalami kesusahan akibat bencana seperti banjir, kebakaran dan sebagainya," katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Vaisakhi 2012 di Dataran Merdeka di sini, malam Isnin. Selain itu, sebanyak 18 gurdwara yang kurang berkemampuan dan yang memerlukan perhatian khas akan diberi peruntukan berjumlah RM900,000 atau RM50,000 setiap satu.

Gurdwara tersebut adalah Gurdwara Saheb di Bayan Baru, Malim Nawar, Port Dickson, Tanah Rata, Kota Bharu, Petaling Tin, Kajang, Kuala Pilah, Changkat Tin, Kuala Kubu Baru, Pokok Assam, Bentong, Alor Setar, Tanjung Tualang, dan Kampung Pandan, serta Gurdwara Saheb di Sabah dan Sarawak, iaitu di Sandakan, Lahad Datu dan Sibu.

Kerajaan juga, kata Najib, akan menyalurkan RM300,000 atau RM100,000 setiap satu bagi tujuan pembinaan tiga gurdwara di Shah Alam, Subang Jaya dan Georgetown.

Peruntukan RM300,00 juga akan disalurkan kepada Gurdwara Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur untuk pembinaan Pusat Sumber Sikh Kebangsaan di samping RM200,000 bagi kerja menaiktaraf krematorium di Jalan Loke Yew di sini supaya upacara pengebumian bagi masyarakat Sikh dapat dijalankan dengan lebih selesa.

Bagi meningkatkan lagi akses dan kualiti pengajaran bahasa Punjabi, Najib berkata kerajaan akan memberi tambahan RM500,000 tahun ini bagi pengeluaran buku teks kepada pelajar-pelajar yang diberi secara percuma.

Perdana Menteri berkata peruntukan merupakan tambahan kepada RM500,000 yang disalurkan Kementerian Pelajaran kepada Khalsa Diwan Malaysia yang mula menerimanya tahun lepas.

Buat kali pertama, kertas ujian Punjabi dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas mencatatkan rekod lulus 100 peratus,dan 51 peratus pelajar yang menduduki mata pelajaran tersebut mencapai gred A, manakala dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula, pencapaian kelulusan adalah setinggi 92 peratus dengan 38 peratus mencapai gred A.

Bagi pembangunan golongan muda pula, RM800,000 akan disalurkan kepada Pertubuhan Sikh Naujawan Sabha Malaysia bagi membantu mereka menjalankan aktiviti di seluruh negara.

"Semua peruntukan dan kemudahan itu merupakan komitmen kerajaan Barisan Nasional untuk menjaga kepentingan semua kaum di negara ini termasuk kaum Sikh," kata Najib.

Perdana Menteri berkata ia jugaadalah bagi menyatakan penghargaan kerajaan dan negara kepada kaum Sikh tempatan yang telah bersama-sama membina keamanan dan kemajuan negara sejak Perang Dunia Kedua lagi.

"Istilah yang sesuai berdasarkan istilah bahasa Punjabi ialah 'Vishwaz' iaitu keyakinan.Kalau kita dapat pupuk semangat 'Vishwaz' ini, saya percaya banyak lagi yang dapat dilakukan untuk masyarakat Sikh," katanya. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan