Malaysia Perlu Kurangkan Kebergantungan Pekerja Asing - MEF

Diterbitkan: Selasa, 8 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia perlu mengkaji semula jumlah pekerja asing yang diperlukan negara dengan mengambil kira kos yang tinggi untuk mengambil mereka sebagai pekerja, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Pengarah eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata pengenalan kepada upah minimum dan kos levi tinggi yang perlu dibayar majikan, berjumlah kira-kira RM4 bilion setiap tahun, menjadikan kos menggaji pekerja asing sangat mahal.

"Matlamat jangka panjang kerajaan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing kepada lima peratus daripada jumlah tenaga kerja menjelang 2015, perlu dilaksanakan sebaiknya," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata, dasar Malaysia mengenai keperluan buruh ialah untuk mengurangkan lagi kebergantungan kepada pekerja asing. Ini juga selaras dengan rasional memperkenalkan dasar upah minimum negara.

"Kos mengupah pekerja asing adalah lebih tinggi daripada pekerja tempatan dan mereka juga mendapat pengangkutan percuma, penginapan dan tidak perlu membayar bil utiliti," katanya.

Shamsuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez dalam temubual dengan Jakarta Post yang disiarkan pada Isnin, yang mendakwa tiada rangka kerja perundangan atau undang-undang khusus untuk melindungi pekerja asing di Malaysia, dan oleh itu pekerja asing dieksploitasi.

Shamsuddin berkata, pekerja asing menikmati faedah dan pelindungan yang sama seperti pekerja tempatan di bawah undang-undang buruh Malaysia dan mereka juga dilindungi oleh Akta Pampasan Pekerja di mana mereka dibayar secara sekaligus untuk kecederaan semasa bekerja atau kematian.

"Di bawah Seksyen 60L Akta Pekerjaan 1955, pekerja asing boleh mengadu kepada ketua pengarah Sumber Manusia jika mereka merasakan berlaku diskriminasi terhadap mereka, dan juga boleh membuat tuntutan terhadap faedah atau upah yang tidak dibayar di bawah Seksyen 69 akta yang sama," katanya.

Di bawah pindaan Akta Pekerjaan baru-baru ini, beliau berkata pelindungan untuk pembantu rumah dipertingkatkan dan upah mereka kini perlu dibayar melalui akuan bank dan mereka mesti diberikan cuti mingguan.

Dalam kes pekerja tanpa izin, Shamsuddin berkata, tumpuan tidak sepatutnya melindungi kepentingan mereka memandangkan mereka telah melanggar undang-undang, dan tindakan sepatutnya perlu diambil terhadap mereka.

"Mereka perlu dihantar pulang dan bukannya ditahan. Bagi majikan yang mengambil pekerja tanpa izin, mereka juga perlu didakwa mengikut undang-undang," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan