Mubarak Kutuk Usaha Pihak Tertentu Gulingkan Kerajaan Dengan Cara Tidak Demokratik

Diterbitkan: Isnin, 7 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) pada Isnin mengutuk sekeras-kerasnya usaha berterusan pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dengan cara tidak demokratik seperti pemberontakan dan pertumpahan darah.

Dalam satu usul yang dibentang pada Perhimpunan Agung Tahunan Mubarak Malaysia ke-9, di sini, Mubarak turut mencela kegiatan parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang didalangi kuasa asing untuk merealisasikan matlamat itu.

Ketua Penerangan Mubarak Datuk Abdul Rahman Sulaiman ketika membentangkan usul itu, berkata Mubarak menggesa rakyat supaya sentiasa waspada terhadap usaha tersebut demi menyelamatkan negara dan menjamin kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat pada masa depan.

"Mubarak juga mengambil ketetapan menyokong usaha kerajaan untuk mengekalkan sistem pemerintahan yang wujud sekarang buat selama-lamanya," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas, berkata perhimpunan NGO yang disokong pembangkang di ibu negara 28 April lepas, adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi, sekali gus menunjukkan mereka tidak menghormati kerajaan yang dipilih rakyat menerusi proses yang sah.

Abdul Rahman berkata usaha untuk menggulingkan kerajaan menerusi cara tidak demokratik itu adalah kerana pembangkang tiada pilihan lain untuk menang kerana tidak mampu mencapainya menerusi pilihan raya.

Selain itu katanya pada usia 65 tahun sekarang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai masa lagi untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

"Usaha kumpulan yang mahu menggulingkan kerajaan itu juga kerana mendapat semangat daripada kejayaan 'Arab Spring' di beberapa negara Arab, yang mendapat sokongan NGO tertentu dan kuasa asing.

"Mereka juga sebar khabar angin selain memburuk-burukkan kerajaan, pemimpin dan institusi. Jika mereka hendak mengambil alih kerajaan, mereka sepatutnya melakukannya secara demokrasi. Tetapi mereka tahu tidak boleh menang dengan cara pilihan raya," katanya.

Abdul Rahman berkata Malaysia telah berjaya melaksanakan 12 pilihan raya umum dan ratusan pilihan raya kecil yang dijalankan secara demokratik, adil, bebas dan lancar sejak Merdeka.

"Sistem pemerintah Raja Berperlembagaan yang melibatkan perkongsian kuasa antara pelbagai kaum yang menjadi penduduk negara ini telah berjaya mengubah landskap negara daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi.

"Kepimpinan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri sedang gigih melaksanakan program transformasi nasional untuk melonjakkan negara ke tahap negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Perhimpunan pada Isnin turut meluluskan usul berkenaan pencen kepada bekas wakil rakyat yang antaranya memohon kepada kerajaan agar bekas wakil rakyat yang dipencenkan sebelum umur 50 tahun dibayar gratuiti dan pencen sebaik sahaja dibersarakan, bukan menunggu sehingga cukup umur 50 tahun.

"Bekas wakil rakyat yang terpilih selepas berkhidmat kurang daripada 36 bulan jika tidak dipilih lagi dalam pilihan raya seterusnya, mereka ini hendaklah dianggap telah berkhidmat satu penggal penuh dan layak dibayar gratuiti dan bayaran pencen mengikut tempoh perkhidmatan," katanya.

Usul yang dibentangkan Mubarak Melaka itu turut meminta kenaikan pencen bekas wakil rakyat dibuat mengikut penjawat awam yang dinaikkan dari semasa ke semasa.

"Bekas-bekas wakil rakyat yang telah pencen jika berlaku kematian isteri pertama dan jika bekas wakil rakyat berkenaan berkahwin lagi maka isteri barunya hendaklah dibolehkan menerima pencen terbitan selepas kematian suaminya," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan