Cadangan Bina Lebuh Raya Dalam Manifesto BN Kelantan

Diterbitkan: Ahad, 6 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Cadangan pembinaan lebuh raya Kota Baharu-Gua Musang akan dijadikan sebagai perkara penting yang akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan beliau meneliti cadangan tersebut termasuk dari aspek teknikal dan kos yang dianggarkan sebanyak RM2 bilion.

"Saya akan jumpa Unit Perancang Ekonomi (EPU), kita dimaklumkan kos sekitar RM2 bilion, lagi lama kita tunggu kos akan naik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Taman Halal Pengkalan Chepa di Kompleks Industri Mara (KIM) Fasa II dan KIMFEST 2012, dekat sini, Ahad.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Komuniti 1Malaysia oleh Perdana Menteri pada Jumaat lepas, mencadangkan kerajaan pusat membina lebuh raya tersebut bagi mengatasi kesesakan teruk terutama di musim perayaan di samping menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan Ulu Kelantan.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Umno Kelantan menyokong cadangan pembinaan lebuh raya tersebut kerana ia akan memberi banyak faedah kepada rakyat dan pembangunan negeri ini.

Sementara itu, Mustapa berkata pemimpin pembangkang yang menuduh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebagai anggota Umno cawangan Kubang Bonggor di Pasir Mas, perlu memohon maaf kerana tuduhan itu tidak berasas.

"Pemimpin pembangkang buat tuduhan melulu, mereka buat kerana mahu memperdayakan rakyat dan ada rakyat yang percaya padahal mereka bercakap dusta," katanya.

Mustapa diminta mengulas laporan akhbar (Sinar Harian) hari ini mengenai seorang peniaga kedai makan Wan Ahmad Wan Omar, 63, mengaku beliau anggota Umno cawangan Kubang Bonggor di bahagian Pasir Mas.

Peniaga itu dilaporkan berkata beliau perlu menjelaskan hal sebenar setelah nombor kad pengenalannya disebut Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai milik Timbalan Pengerusi SPR. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan