Polis Sahkan Perusuh Berhasrat Ke Dataran Merdeka

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis mendapati perusuh pada perhimpunan Sabtu lepas di ibu negara mempunyai hasrat untuk menuju ke kawasan yang dilarang berhimpun oleh mahkamah iaitu Dataran Merdeka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, niat perusuh perhimpunan itu terbukti berdasarkan gambar-gambar yang diperoleh daripada pihak media dan polis.

"Rempuhan ini menunjukkan mereka mempunyai hasrat menuju ke Dataran Merdeka yang dikawal oleh polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook Polis KL pada Jumaat.

Sabtu lepas, peserta perhimpunan itu bertindak merempuh penghadang untuk memasuki Dataran Merdeka sekali gus melanggar perintah Mahkamah Majistret Kuala lumpur yang melarang kehadiran orang awam di dataran itu mulai 28 April hingga 1 Mei.

Polis pada Khamis mengenal pasti 49 orang termasuk seorang wanita, yang dipercayai terbabit dalam kejadian merusuh pada perhimpunan bertukar ganas dekat Dataran Merdeka itu.

Kenyataan itu turut menyertakan gambar rusuhan dan juga gambar 42 orang perusuh yang terbabit dalam perhimpunan tersebut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan