Kerajaan Disaran Bentuk Dasar Ibu Tunggal Negara

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Kerajaan Perak akan mencadangkan kepada kerajaan pusat supaya Dasar Ibu Tunggal Negara dibentuk bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan bantuan kepada golongan berkenaan dapat digerakkan dengan lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata setakat ini, dasar khusus membabitkan golongan itu belum diwujudkan lagi.

"Cadangan ini antara resolusi yang dicapai melalui seminar hari ini. Kita akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri supaya dasar ini dapat diterima pakai dengan segera," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan seminar Dasar Ibu Tunggal Negara sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2012 anjuran kerajaan negeri dan Jawatankuasa Peguam Negeri Perak di sini, Sabtu.

Hamidah berkata dasar itu perlu diwujudkan di peringkat pusat supaya usaha membela golongan ibu tunggal dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta dapat menjamin suasana harmoni di kalangan masyarakat.

Katanya satu takrifan yang tepat golongan yang diiktiraf sebagai ibu tunggal perlu dibuat supaya hanya mereka yang benar-benar layak, mendapat pembelaan dan bantuan yang sewajarnya.

Berdasarkan resolusi pada seminar hari ini, Hamidah berkata terdapat enam kategori wanita yang boleh ditakrifkan sebagai ibu tunggal iaitu wanita yang kematian suami dan meneruskan tugas membesarkan anak, wanita bercerai dan diberi hak penjagaan anak.

Selain itu, wanita yang tidak diberi nafkah oleh suami, wanita yang sedang melalui proses penceraian, wanita yang mempunyai suami uzur atau cacat serta wanita tanpa suami yang membesarkan anak sendiri atau anak orang lain.

Katanya agensi kerajaan yang secara langsung menyalurkan bantuan kepada ibu tunggal juga perlu mewujudkan tabung khas kepada golongan berkenaan.

"Ini kerana di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Baitulmal, tiada tabung khas untuk ibu tunggal. Mereka tidak diberi bantuan atas nama ibu tunggal itu sendiri tetapi diberi kerana faktor miskin, fakir dan bantuan kepada anak-anak," katanya.

Beliau berkata istilah 'janda' juga perlu dihentikan penggunaannya dan digantikan dengan 'armalah' supaya ia dapat menghilangkan stigma dalam masyarakat. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan