Bina Negara Ini Bersama Dalam Semangat 1Malaysia - PM

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat Malaysia mengenai pentingnya membina negara ini bersama-sama dalam semangat 1Malaysia dan nilai-nilai baik dan menangkis semua cubaan untuk memusnahkan negara ini.

"Adalah penting untuk kita membina negara ini, misalnya untuk membina sebuah rumah, ia perlu dibina setingkat demi setingkat, lakukan permulihan dan belajar daripada kesilapan, kita perlu memandang ke depan, berdamai...itulah konsep yang perlu diberi peringatan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Berucap di hadapan penganut agama Buddha di Kuil Buddha Maha Vihara di Brickfields di sini sempena sambutan Hari Wesak Sabtu, Najib menegaskan akan pentingnya untuk rakyat, bukan sahaja mengamalkan sikap saling bertoleransi tetapi 'berhijarah ke tahap penerimaan sepenuhnya' dan menghormati perbezaan masing-masing.

Katanya apa juga anutan agama seseorang itu, adalah penting untuk mencari kebaikan agama itu seperti sikap positif dan ajaran baik yang dapat membentuk nilai-nilai baik untuk negara.

"Apabila kita bercakap mengenai nilai-nilai baik, ia perlu diamalkan dan diterapkan pada peringkat berbeza," katanya dan menurut Perdana Menteri, beliau percaya Malaysia akan mempunyai masa depan cerah kerana rakyatnya secara berterusan menyumbang kepada pembangunan negara.

Najib berkata kaji selidik yang dilakukan oleh Global Peace Index tahun lepas yang mendedahkan Malaysia adalah negara ke-19 paling aman dan selamat daripada 153 negara di dunia, menunjukkan betapa berjayanya Malaysia walaupun ia sebuah negara berbilang kaum.

"Anda dapat lihat betapa kayanya kita dengan pelbagai kumpulan etnik dan agama. Kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada semua bagi keamanan dan kemakmuran ini," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua Sami Buddha Malaysia Datuk K. Dhammaratana Thera.

Terdahaulu, Liow, yang juga Timbalan Presiden MCA dalam ucapannya berkata semua rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka sebagai sebuah keluarga besar dan mendukung semangat muhibah dan saling menghormati.

Beliau berkata toleransi, persefahaman, sabar dan penyayang merupakan keperluan asas untuk menjamin perpaduan dan keamanan di negara ini.

"Rakyat Malaysia perlu berpegang kepada prinisp Semangat 1Malaysia iaitu semangat muhibah, persefahaman dan menghormati sebagai asas untuk sebuah negara progresif dan bersatu," katanya.

Liow berkata tema sambutan Hari Wesak ke-50 'Patriotisme dan Keharmonian Beragama untuk Malaysia Bersatu' jelas menunjukkan hasrat semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa atau agama. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan