PM Ajak Rakyat Kelantan Lakukan Perubahan Besar

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat, mengajak rakyat Kelantan bangkit dalam satu barisan untuk melakukan perubahan besar terhadap kehidupan dan pembangunan di negeri itu.

Beliau berkata rakyat Kelantan harus memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk melakukan perubahan tersebut kerana selama ini negeri itu jauh ketinggalan.

"InsyaAllah, beri peluang kepada Barisan Nasional, kita akan buat perubahan besar, masalah bekalan air bersih boleh selesai dan banyak lagi masalah boleh kita selesaikan termasuk permintaan mewujudkan lebuh raya," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik, di sini, Jumaat.

Najib berkata semangat hendakkan perubahan yang besar itu harus bermula dari sekarang, termasuk mereka yang memakai baju warna merah yang sinonim dengan semangat 'gelombang merah' yang dicetuskan Umno Kelantan untuk merampas negeri tersebut daripada pentadbiran PAS.

"Daripada perhimpunan seperti ini, kita akan mara ke depan, kita tahu tidak mudah tetapi saya setuju dengan dikir barat tadi, cuba try test sepenggal, saya yakin perubahan besar akan berlaku," katanya.

Sehubungan itu, Najib menyeru rakyat Kelantan berjuang habis-habisan supaya perubahan besar dapat dilakukan untuk mereka dan negeri tersebut.

Beliau berkata kerajaan pusat yang prihatin dengan nasib rakyat Kelantan, telah banyak membantu mewujudkan pembangunan untuk mereka.

Di jajahan Gua Musang, Najib berkata kerajaan sudah meluluskan pembinaan projek perumahan rakyat sebanyak 1,000 unit, selain 350 unit rumah di bawah projek agropolitan dan peruntukan RM3 juta untuk masyarakat Orang Asli menanam pokok gaharu.

Sementara itu, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah semasa berucap pada majlis tersebut meminta kerajaan membina sebuah lebuh raya bagi memudahkan orang ramai berulang-alik dari Kota Baharu-Kuala Krai-Gua Musang-Bentong-Karak-Kuala Lumpur.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu penting bagi mengatasi masalah kesesakan teruk pada musim perayaan dan cuti persekolahan memandangkan kira-kira 400,000 rakyat bekerja di luar Kelantan.

Kewujudan lebuh raya sebagaimana yang dibina di negeri pantai barat Semenanjung akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di negeri ini dan negeri lain di pantai timur, katanya.

Beliau berkata dengan adanya lebuh raya itu, banyak lagi kemudahan lain boleh diwujudkan termasuk pusat pengajian tinggi memandangkan kawasan hulu Kelantan ini masih mempunyai banyak tanah kosong.

Pada majlis tersebut, Tengku Razaleigh mengimbas kembali sumbangan pemimpin terdahulu termasuk bapa Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak dalam memajukan kawasan hulu Kelantan dengan menubuhkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melalui pembukaan tanah rancangan.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan