Kompaun Lebih RM100,000 Dikeluarkan Kepada 435 Orang Kerana Merokok Di Premis Kerajaan

Diterbitkan: Khamis, 3 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kompaun berjumlah RM108,750 telah dikeluarkan terhadap 435 orang yang didapati melakukan kesalahan di bawah Praturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 kerana merokok di premis kerajaan dalam operasi yang di jalankan Kementerian Kesihatan pada 24 dan 25 April lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hassan Abdul Rahman berkata sebanyak 933 premis kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri termasuk agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan diperiksa melalui operasi tersebut.

"Mana-mana orang yang tidak menjelaskan kompaun yang ditawarkan dalam tempoh yang diberi akan didakwa di mahkamah dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Sehubungan itu beliau mengingatkan para perokok supaya mematuhi peraturan larangan merokok dan tidak merokok di tempat-tempat yang dilarang.

Dr Hasan turut mengingatkan pihak yang menguruskan premis kerajaan mengenai tanggungjawab mereka di bawah peraturan itu untuk mempamerkan tanda larangan merokok di bahagian yang mudah dilihat pada premis serta memastikan tiada seorang pun merokok di dalam premis mereka.

Beliau berkata kegagalan pihak pengurusan premis mematuhi peraturan berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan