Penyertaan Belia Dalam Bersih 3.0 Bukan Gambaran Sokongan Mereka Merosot

Diterbitkan: Rabu, 2 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Penyertaan belia dalam perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu bukanlah menggambarkan kemerosotan sokongan belia terhadap kerajaan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Jelasnya, ramai daripada belia terbabit ditaja oleh pihak pembangkang yang mengambil kesempatan untuk memburukkan kerajaan, malah lebih memburukkan keadaan apabila mereka hanya bertindak mengikut perasaan tanpa mengetahui perkara sebenar.

"Jumlah belia yang terlibat hanya dalam jumlah yang kecil. Saya percaya majoriti belia faham apa yang berlaku sebenarnya hanya disebabkan agenda politik pembangkang.

"Majoriti belia tidak sukakan rusuhan, namun segelintir orang muda ini tanpa berfikir (panjang) dengan darah panas (menyebabkan mereka) mudah diracuni dan dihasut oleh puak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kasut jenama Bata kepada 627 ahli Kelab Basikal Fixie Kemaman di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman di sini, Selasa.

Beliau turut kesal dengan tindakan ibu bapa yang membawa anak kecil ke perhimpunan haram itu kerana perhimpunan yang berkaitan keganasan tidak sewajarnya didedahkan kepada mereka.

"Belia yang datang ke perhimpunan itu pun sebab mereka ditaja. Buktinya banyak kita boleh dapat dari youtube, blog dan laman web yang mendedahkan perkara sebenar.

"Penganjur perhimpunan haram perlu bertanggungjawab dan tidak boleh 'lempar batu sembunyi tangan' dengan didikan mereka yang menggalakkan golongan muda memberontak," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan