Dua Cedera Di Depan Pejabat PM

Diterbitkan: Rabu, 2 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kehadiran lebih 200 penyokong MIC dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pejabat Perdana Menteri pada Rabu dengan masing-masing mendakwa untuk mempertahankan hak masyarakat India, akhirnya menjadi kecoh.

Akibat pertikaman lidah antara kedua-dua kumpulan, pergaduhan tercetus sehingga mengakibatkan dua cedera dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

Identiti mereka yang cedera tidak diketahui.

Kumpulan penyokong MIC diketuai Ketua Pergerakan Pemuda MIC kebangsaan T.Mohan dikatakan hadir bagi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas keprihatinan beliau dalam menyelesaikan isu-isu masyarakat India termasuk sekolah Tamil, kuil, masalah ekonomi dan kewarganegaraan.

PKR pula diketuai Timbalan Presidennya N. Surendran dan Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin, dikatakan hadir untuk memohon kad pengenalan biru untuk seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang didakwa gagal mendaftar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolahnya akibat masalah itu.

Kejadian yang bermula pada pukul 11.30 pagi itu pada mulanya berlangsung dengan aman apabila kedua-dua penyokong mengadakan perarakan di kawasan itu sambil melaungkan slogan masing-masing.

Mohan ketika ditemui selepas itu berkata beliau hadir untuk menyerahkan kad ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelbagai bantuan diberikan terutamanya melibatkan isu dokumen pengenalan diri melalui kempen MyDaftar yang dijalankan di seluruh negara.

Beliau berkata melalui kempen itu 9,529 daripada 24,385 permohonan berjaya diselesaikan dan selebihnya masih dalam proses.

Mengenai isu melibatkan pelajar India yang tiada kad pengenalan biru itu sehingga didakwa gagal mendaftar untuk menduduki SPM, Mohan berkata MIC sedang menguruskan hal itu secepat mungkin.

Beliau turut menolak dakwaan Surendran bahawa lebih 300,000 kaum India di negara ini masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan meminta supaya dikemukakan bukti sahih. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan