Rakyat Harus Bijak Pilih Pemimpin Untuk Teruskan Kemajuan Negara - Dr Mahathir

Diterbitkan: Selasa, 1 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Rakyat harus bijak memilih pemimpin bagi meneruskan kemajuan negara termasuk dari segi sosial, ekonomi dan politik, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa.

Beliau berkata, pemilihan pemimpin yang bijak serta ikhlas bagi meneruskan kemajuan negara amat penting dan mengelak negara daripada terbelakang kembali.

Pemimpin, katanya, memainkan peranan penting dalam proses membangunkan negara dan membela nasib rakyat, oleh itu pemilihan pemimpin tidak boleh dibuat mengikut emosi kerana bimbang tersilap pilih.

"Sekarang ini sudah ada usaha untuk mewujudkan perasaan benci terhadap kerajaan oleh sesebuah pihak demi kepentingan individu semata-mata, saya yakin rakyat Malaysia bijak memilih pemimpin untuk meneruskan kemajuan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Siri Syarahan Kinabalu bertajuk 'Sabah Dalam Konteks Sosio-Politik Malaysia' di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, Selasa.

Dr Mahathir berkata, sejarah dan rekod membuktikan bahawa kerajaan yang memerintah negara sejak merdeka lagi adalah pemerintah yang ikhlas serta terbaik dalam membangunkan ekonomi, sosial dan politik Malaysia.

Katanya, perkembangan sosial antara kejayaan kerajaan dalam mewujudkan semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia tanpa tekanan, desakan dan paksaan.

"Orang Sabah apabila berada di Semenanjung Malaysia atau Sarawak tidak berasa asing ketika berada di negeri lain dan berasa diri mereka adalah rakyat Malaysia. Begitu juga orang Semenanjung atau Sarawak ketika berada di Sabah.

"Ini berjaya kita lakukan tanpa paksaan, desakan dan tekanan. Inilah keistimewaan negara kita berbanding negara lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mengesyorkan agar UMS mewujudkan sebuah fakulti kejuruteraan petroleum bagi memenuhi permintaan industri minyak dan gas di Sabah, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini.

"Ini kerana menerusi kajian Petronas, Sabah bakal menjadi negeri terkaya dari segi hasil bumi (minyak dan gas) pada masa depan dan sudah tentu kita memerlukan jurutera petrokimia dan carigali yang lebih ramai.

"Rakyat Sabah tidak seharusnya melepaskan peluang dalam industri ini untuk meningkatkan lagi pendapatan mereka dengan bekerja dalam bidang berkenaan yang berkembang pesat di negeri ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan