NFCorp Akan Fail Saman Fitnah Terhadap Pengarah Strategi PKR

Diterbitkan: Selasa, 1 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) akan memfailkan saman terhadap Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli kerana mengeluarkan kenyataan berunsurkan fitnah berhubung dakwaan syarikat itu menggunakan pinjaman peribadi daripada bank bagi membeli hartanah mewah yang dibangunkan oleh KL Eco City.

Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, Mohd Rafizi didakwa menfinah menerusi sidang akhbar yang dibuat pada 7 Mac lalu.

“Tawaran pinjaman daripada sebuah bank untuk membeli beberapa unit pejabat di KL Eco City pada 23 Mei 2011 tidak diambil. Bank berkenaan kemudiannya menarik balik pinjaman terhadap pembelian lapan unit pejabat itu.

“Pembatalan tawaran pinjaman yang telah disahkan dalam surat daripada bank bertarikh 4 Januari 2012. Ringkasnya, tiada pinjaman yang dibuat,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Salleh berkata, kenyataan yang dibuat oleh Mohd Rafizi itu adalah tidak benar, berunsurkan fitnah dan menipu.

“Tanpa membuat pinjaman, bagaimana ada pembayaran semula? Bagaimana (dakwaan) Rafizi Ramli boleh mengatakan saya telah gagal membuat pembayaran semula pinjaman peribadi untuk hartanah KL Eco City, adalah tidak berasas, tanpa merit, satu penipuan dan fitnah terhadap saya dan keluarga,” kata Mohamad Salleh.

Mohd Rafizi sebelum ini dilaporkan mendedahkan dokumen yang mendakwa Mohamad Salleh menggunakan dana yang diperuntukkan kepada NFCorp untuk mendapatkan pinjaman peribadi bagi membeli hartanah mewah di Kuala Lumpur.

Dilaporkan juga Mohamad Salleh mengakui membuat pembelian peribadi hartanah mewah di KL Eco City namun menegaskanpembelian hartanah peribadi itu dibuat tanpa menggunakan pinjaman bank seperti yang didakwa oleh Mohd Rafizi.

Mohamad Salleh memfailkan laporan polis terhadap Mohd Rafizi kerana memfitnahnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan