Tindakan Ganas Peserta Demonstrasi Terus Diselar

Diterbitkan: Ahad, 29 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak terus mengecam tindakan liar peserta perhimpunan yang disokong pembangkang di sekitar Dataran Merdeka di sini semalam, sehingga menyebabkan kecederaan dan kerosakan harta benda di samping mengganggu pencarian rezeki orang lain.

Mereka berpendapat tindakan peserta perhimpunan menimbulkan huru-hara sebagai bercanggah dengan norma sebuah negara demokratik yang diamalkan di Malaysia selama ini.

Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek berharap insiden itu dapat membuka mata rakyat bahawa parti pembangkang telah memperalatkan pertubuhan bukan kerajaan untuk mencapai agenda politik mereka di samping mahu melihat kerajaan digulingkan.

MCA yang kesal dan dukacita dengan tindak-tanduk demonstran itu, memuji kesabaran pasukan polis dalam menghadapi situasi getir semalam, kata Dr Chua kepada pemberita selepas menghadiri jamuan tengah hari bersama masyarakat Cina di Kluang, Johor.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata penganjur perhimpunan, Datuk S.Ambiga mesti bertanggungjawab terhadap keganasan, kerosakan dan kecederaan yang berlaku pada acara yang dijamin aman oleh beliau sebelum ini.

Shahrizat berkata Ambiga juga mesti bertanggungjawab kerana hilang kawalan terhadap pemimpin pembangkang yang membuat ucapan berbentuk provokasi.

"Pihak berkuasa perlu menggunakan peruntukan undang-undang yang ada untuk menghalang tindakan anarkis seperti yang dilihat pada perhimpunan itu daripada berulang," katanya dalam kenyataan.

Insiden kacau-bilau di ibu negara itu turut menarik perhatian di Sabah dengan Timbalan Ketua Penerangan Umno negeri Datuk Seri Salleh Said Keruak membidas pembangkang kerana mengambil jalan keluar dengan demonstrasi jalanan bagi memenuhi sifat gilakan kuasa.

Bercakap di Kota Belud, katanya perhimpunan disusuli dengan tindakan ganas tidak selaras dengan budaya Malaysia yang mendokong nilai-nilai murni.

"Ia hanya menggalakkan orang muda kita supaya agresif di samping menyebabkan pergeseran dalam masyarakat dan ia tidak baik untuk negara," katanya kepada Bernama selepas merasmikan program ekonomi anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dan Persatuan Sama Sabah (PSS).

Dalam pada itu, Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata penyokong perhimpunan itu khususnya kaum Melayu masih tidak sedar hakikat mereka diperbodohkan demi cita-cita politik pihak tertentu.

Menurutnya, tindakan tata tertib akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam dari negeri itu yang didapati mengambil bahagian dalam perhimbunan tersebut.

"Dan bila orang luar melihat Malaysia tidak aman, pasti pelabur tidak akan datang melabur. Siapa rugi? Yang mengganggur kebanyakannya orang Melayu juga," katanya di Kuala Terengganu.

Di Gemencheh, Negeri Sembilan, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz menarik perhatian bahawa keganasan yang tercetus pada perhimpunan itu menjejaskan imej negara selain membawa kesan buruk kepada golongan peniaga, pemandu teksi dan orang awam.

Selain itu, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa pilihan raya di negara ini tidak bersih dan tidak adil.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia, Datuk Zainal Rampak yang menyelar tindakan ganas peserta perhimpunan itu berkata demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan bukan budaya rakyat Malaysia.

"Jika hendak tukar kerajaan, tunggulah ketika pilihan raya diadakan. Itu baru disebut demokrasi," katanya, sambil menambah kata usaha kerajaan seperti menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman nampaknya tidak dihargai oleh penganjur perhimpunan tersebut.

Bagi bekas Pengerusi Penerangan Parti Keadilan Rakyat Roslan Kasim, perhimpunan itu sengaja diadakan untuk mengalih pandangan umum terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan negeri diterajui pakatan pembangkang.

"Jadi mereka mencari jalan mengalihkan pandangan rakyat kepada isu lain seperti soal ketidakcekapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya di Muar.

Di Kuala Lumpur, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Datuk Ibrahim Ali berkata pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin terdesak sehingga sanggup menggunakan rakyat untuk mencetuskan huru-hara demi kepentingan politik.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata kerajaan perlu berani bertindak terhadap peserta perhimpunan yang bertindak liar itu.

"Kita bimbang kalau kerajaan tidak berbuat demikian, suasana sewaktu pilihan raya umum nanti menjadi lebih teruk dengan unsur-unsur keganasan sehingga rakyat takut keluar mengundi," katanya di Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak Malaysia), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya supaya tindakan tegas diambil ekoran keganasan yang berlaku di ibu kota. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan