Demonstrasi Bantah Pembalakan Haram Di Machang, Kelantan

Diterbitkan: Ahad, 29 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MACHANG: Kira-kira 1,500 penduduk kampung dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Ahad mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah kegiatan pembalakan haram yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Hulu Sat di sini, sejak tiga tahun lepas.

Mereka mendakwa akibat kegiatan itu, penduduk mengalami kerugian besar termasuk kehilangan punca air bagi kegunaan harian, kemerosotan hasil pertanian, pencerobohan habitat gajah dan kerosakan jalan ke pusat pelancongan Bukit Bakar.

"Ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu pada tahun 1980 sebarang aktiviti penebangan hutan tidak dibenar sama sekali kerana kawasan itu diwartakan sebagai tadahan hujan," penduduk kampung, Mat Lazim Harun, 60, ketika ditemui pada demonstrasi itu.

Beliau mendakwa perkara sebaliknya berlaku selepas BN tidak lagi berkuasa di negeri ini.

Katanya, ini menyebabkan kawasan sungai-sungai di sekitar lokasi itu menjadi cetek berikutan lumpur yang terkumpul berikutan hakisan disebabkan hujan lebat.

Mat Lazim mendakwa banyak pokok durian, dokong, pisang, rambutan dan sebagainya dimusnahkan oleh gajah liar yang mendekati kawasan kampung akibat 250 hektar habitat haiwan itu dikacau oleh kerja pembalakan.

"Saya sendiri mengalami kemusnahan satu hektar pokok durian yang menjadi sumber pendapatan sampingan apabila tiba musim durian setiap tahun," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Machang, Kamaruddin Abdul Kadir berkata, lebih 1,400 hektar sawah di bawah kawalan PPK turut terjejas apabila lebih 140 petani mengalami kekurangan air untuk mengerjakan sawah akibat sungai-sungai yang menjadi punca saliran hampir kering.

Menurutnya, bendang-bendang termasuk di Kampung Ulu Sat, Banggol Judah, Bukit Tiu dan Bukit Bakar hanya boleh diusahakan sekali setahun iaitu pada musim tengkujuh.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan kawasan Machang, Kamaruddin Abdul Kadir berkata, pencerobohan itu menunjukkan kerajaan negeri sekarang terlalu lemah untuk bertindak.

Beliau menegaskan jika penduduk tidak mahu kegiatan itu berterusan, kerajaan negeri sekarang perlu ditukar kepada BN yang ternyata lebih berkemampuan, pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan