Kementerian Luar Nafi Dakwaan Mayat Penjenayah Jadi Mangsa Penjualan Organ

Diterbitkan: Sabtu, 28 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menafikan laporan media yang mendakwa mayat tiga penjenayah warga Indonesia yang ditembak mati ketik merompak sebuah rumah di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 24 Mac lepas menjadi mangsa penjualan organ manusia.

Menurut kenyataan kementerian itu yang dikeluarkan di sini hari ini, hasil laporan daripada Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, proses bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat ketiga-tiga penjenayah itu dilakukan mengikut tatacara yang sewajarnya.

Pihak hospital turut memaklumkan bahawa mereka tidak pernah mengambil atau mengalih apa-apa organ dalaman ketiga-tiga subjek ketika proses autopsi dijalankan pada 26 dan 27 Mac lepas.

Dalam kejadian pada 24 Mac lepas, polis terpaksa melepaskan tembakan selepas penjenayah terbabit cuba menyerang anggota polis apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan itu.

Kenyataan itu turut menyebut kementerian berkenaan menghulurkan bantuan sepenuhnya kepada delegasi Wakil Khas Kementerian Luar Indonesia (Kemlu) untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Polis Diraja Malaysia dan Hospital Tuanku Jafaar, Seremban.

"Ini termasuk menemui pegawai-pegawai kesihatan yang menjalankan bedah sisasat berkenaan bagi mendapatkan fakta-fakta yang perlu bagi kes ini," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan