Bekas Rakan Sekerja A.Samad Said Ucap 'Tahniah' Kerana Berjaya Melumpuhkan KL

Diterbitkan: Sabtu, 28 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas rakan sekerja Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk A.Samad Said iaitu A. Kadir Jasin secara menyindir telah mengucapkan 'tahniah' kepadanya kerana telah berjaya melumpuhkan Kuala Lumpur dan menjejaskan perjalanan beribu warga kota yang lain melalui demo yang mereka lancarkan pada Sabtu.

Menulis dalam ruangan blognya The Scribe, Kadir yang pernah bersama-sama Samad berkhidmat dengan Kumpulan New Straits Times dahulu berkata;

"Pagi ini, rancangan saya “dicemarkan” oleh demonstrasi Bersih di ibu negara. Laluan saya sesak kerana beberapa batang jalan ditutup. Setelah beberapa lama tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, saya berpatah balik dan menukar haluan.

"Saya ucapkan tahniah kepada kenalan saya pada ketika saya bekerja dengan Kumpulan New Straits Times (1976-2000), Abdul Samad Said aka A Samad Said kerana buat kali pertama berjaya menggagalkan saya.

"Walaupun A Samad Said kanan daripada saya di NST/Berita Harian, tetapi beliau tidak pernah menjadi halangan atau ancaman apatah lagi menggagalkan saya.

"Tetapi hari ini (Sabtu), A Samad Said berjaya menggagalkan saya. Akibat demonstrasi yang beliau dokong bersama seorang lain bernama Ambiga a/p G. Sreenevasan, saya gagal sampai ke destinasi saya. Tetapi saya tidak keseorangan. Ramai lagi yang menderita nasib yang sama."

Sehubungan dengan itu, tulis Kadir, beliau secara menyindir ingin mengucapkan tahniah kepada Sasterawan Negara itu kerana persekongkolan beliau dengan Ambiga dan libertarian lain telah berjaya memujuk, menghasut dan mempengaruhi orang dan kelompok tertentu berdemonstrasi di ibu negara.

"Saya yakin kedudukan istimewa A Samad Said sebagai sasterawan Melayu yang terkenal dan perwatakan beliau yang lemah lembut telah berjaya dimanfaatkan oleh golongan libertarian untuk menarik penyertaan Melayu ikutan.

"Libertarian adalah aktivis politik yang menekankan kebebasan, hak individu dan perkongsian atau pakatan sukarela. Melalui pakatan dan perkongsian sukarela inilah mereka bergerak sebagai gerakan politik.

"Di negara barat, gerakan libertarian inilah yang menjadi pemangkin kepada kegiatan politik apa yang disebut sebagai LGBT (lesbian, gay, bisexual dan transsexual).

"Saya tidak berani mengatakan A Samad Said tidak tahu atau tidak faham falsafah politik libertarian ini. Sebagai penulis dan Sasterawan Negara, saya andaikan beliau cukup berilmu dan bermaklumat.

"Jadi, beliau mungkin membabitkan diri dalam gerakan politik golongan libertarian ini kerana beliau ingin menjejaki laluan sasterawan besar seperti (antara lain) Allahyarham A Samad Ismail, Usman Awang (Tongkat Waran) dan Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) yang agung, unggul dan terkenal kerana activism politik mereka," kata Kadir lagi.

Menurut Kadir, yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, dari sudut pandangan peribadinya, A Samad Said telah sedikit sebanyak berjaya menonjolkan imej itu melalui pembabitannya sebagai pengerusi bersama (Co-Chairman) Bersih.

Malah kata Kadir, kini ramai yang mengaitkan keterampilan beliau dengan pejuang komunis Vietnam, “Uncle” Ho Chi Minh.

"Kelainan A Samad Said mudah dipisahkan daripada khalayak. Malah di kalangan generasi muda, termasuk dalam media massa, mereka mula mengelirukan beliau dengan A Samad Ismail apabila mereka menggelar beliau Pak Samad.

"Bagi generasi saya dan mereka yang dekat dengan dunia kesusasteraan Melayu, panggilan mesra dan hormat Pak Samad adalah sinonim dengan dan eksklusif kepada A Samad Ismail," tulis Kadir.

Allahyarham Samad Ismail adalah tokoh wartawan negara dan juga bekas pengarang NSTP.

"Bagi kami, wujud dikotomi yang luas antara A Samad Ismail (Pak Samad) dengan A Samad Said. Mungkin baik bagi pengkaji sosial, politik dan sastera Melayu mendalami hal ini kerana ia berkait rapat dengan minda Melayu yang suka mengikut dan mudah teruja dengan idea-idea asing yang tidak mereka fahami," ujar Kadir.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan