Pengerusi, Timbalan Pengerusi SPR Pegang Teguh Etika Penjawat Awam

Diterbitkan: Jumaat, 27 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANJONG KARANG: Soal keanggotaan dalam Umno dua pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) iaitu Pengerusi Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar tidak perlu dijadikan isu kerana mereka berpegang teguh pada etika kerja sebagai penjawat awam.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata walaupun Abdul Aziz dan Wan Ahmad merupakan anggota Umno, beliau yakin ketaatan dan kesetiaan kedua-duanya adalah pada tugas mereka sebagai pegawai tertinggi kerajaan yang telah berkhidmat selama berpuluh tahun serta mengendalikan beberapa pilihan raya umum sebelum ini.

"Sebab itu mereka boleh naik pangkat ke jawatan tertinggi kerana kesetiaan dan pengorbanan dalam kuasa mereka sebagai penjawat awam. Mereka tidak ambil peduli pasal Umno ni, kalau mereka taat setia pada Umno mereka tentu sudah jadi menteri sekarang, takkan nak jadi pegawai kerajaan. "Macam saya dulu pegawai kerajaan tapi kerana saya minat politik dan saya sokong perjuangan Umno saya letak jawatan sebagai pegawai undang-undang dan jadi ahli politik. Kalau nak persoalkan sebab mereka anggota Umno maka diberikan satu label seolah-olah SPR tidak adil adalah satu tuduhan yang cetek, dangkal dan tidak bertanggungjawab," katanya dalam sidang media selepas merasmikan kursus pengukuhan industri tebu di sini, Jumaat.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian ketika mengulas desakan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini supaya kedua-dua pegawai tertinggi SPR itu meletak jawatan selepas mendakwa Abdul Aziz adalah anggota Umno cawangan Sri Ampang Baru (bahagian Ampang) manakala Wan Ahmad pula di cawangan Kubang Bunggor (Pasir Mas) di Kelantan. Beliau berkata pembangkang telah kehilangan modal apabila mempersoalkan integriti Abdul Aziz dan Wan Ahmad dan cuba mencipta momentum menjelang satu perhimpunan yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang esok serta Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

"Dulu pembangkang 'menyerang' pihak polis dan sistem kehakiman tetapi apabila (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (penasihat PKR) dibebaskan dari tuduhan liwat mereka diam.

"Kini mereka menyerang SPR dan cuba memberi gambaran pada dunia bahawa SPR tidak adil.

"Saya nak tanya PKR... dahulu pemimpin PKR semua ahli Umno dan pemimpin Umno, ada jadi setiausaha politik, timbalan perdana menteri tetapi kenapa mereka tinggalkan Umno? Kerana kesetiaan dan ketaatan yang membuta tuli kepada pemimpin mereka dan kerana mereka berjuang bukan kerana parti tetapi kerana peribadi dan individu," katanya.

Noh dalam pada itu turut membidas kenyataan Saifuddin bahawa PKR sudah bersedia untuk menghadapi PRU pada bila-bila masa yang jelas bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini bahawa negeri itu tidak bersedia untuk menghadapi PRU jika ia diadakan pada Jun ini. Beliau berkata percanggahan kenyataan itu jelas menunjukkan bahawa pembangkang sebenarnya takut dan gentar untuk menghadapi PRU. "Dalam pimpinan PKR caca merba,pemerintahan kerajaan negeri Selangor pun caca merba.

"Kerajaan Selangor kerajaan minoriti, kalau salah satu parti keluar dari pembangkang Selangor, secara automatik kena ada pilihan raya kecil sebab itu mereka kena bergantung antara satu sama lain. Oleh kerana tamakkan kuasa, mereka suka atau tidak suka terpaksa tunduk walaupun terpaksa gadaikan perjuangan parti asalkan mereka terus dapat berkuasa di Selangor," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan