Usaha Memburukkan Kerajaan Akibat Pembangkang Ketandusan Idea & Modal Politik

Diterbitkan: Rabu, 25 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Akibat ketandusan idea dan modal politik bagi memburuk-burukkan kerajaan, pembangkang kini beralih kepada usaha untuk menafikan sumbangan cemerlang kerajaan Barisan Nasional dengan menyerang usaha murni kerajaan mewujudkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Tindakan itu merupakan percubaan untuk menafikan peranan besar yang dilaksanakan kerajaan selama ini dalam memajukan bidang pendidikan dan melahirkan modal insan cemerlang, kata pemerhati sosial Zainab Yusoff.

Katanya PTPTN hanyalah satu daripada pelbagai bentuk bantuan yang diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja pada peringkat institusi pengajian tinggi, malah bermula dari peringkat pra-sekolah lagi.

Orang ramai kini sudah mula tertanya-tanya kenapa pembangkang mahu menghapuskan PTPTN yang membawa begitu banyak kebaikan, katanya.

"Memang kerajaan menyediakan biasiswa untuk pelajar cemerlang namun kerajaan juga tidak mahu menafikan peluang pelajar-pelajar lain untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Tanpa PTPTN mampukah ibu bapa menanggung kos pengajian? Apatah lagi jika kos itu tidak disubsidi?" katanya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah menjelaskan bahawa kerajaan BN menanggung antara 85 hingga 95 peratus subsidi bagi yuran pengajian di institusi pengajian tinggi demi meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga.

Contohnya, bagi pengajian bidang teknikal bayaran yuran pengajian setahun ialah RM17,989 tetapi yuran yang ditanggung oleh pelajar hanyalah sebanyak RM2,605 dan kos yang ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM15,384.

Bagi bidang Teknologi Informasi Komunikasi (ICT) pula yuran sebanyak RM15,381 dikenakan setahun tetapi pelajar hanya membayar RM2,255 dengan selebihnya RM13,126 disubsidi oleh kerajaan.

Aktivis sosial dan pensyarah Prof Datuk Mohamed Hamdan Adnan pula berkata ketika kerajaan mula menjelaskan jumlah bantuan besar yang diberikan kepada para pelajar, pembangkang kini semakin takut kerana hakikatnya mereka tidak pernah berbuat apa-apapun untuk kebaikan pelajar.

"Pembangkang takut rakyat tahu hakikat betapa besarnya subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Lantaran itu mereka membesar-besarkan isu PTPTN kononnya mereka simpati terhadap pelajar IPTA dan IPTS yang terpaksa menanggung hutang sebelum pun mereka bekerja," katanya.

Beliau percaya jika pembangkang berkuasa, mereka tidak akan dan tidak mampu menghapuskan hutang PTPTN pelajar yang sehingga kini berjumlah lebih RM40 bilion dan mereka akan mencari pelbagai alasan untuk tidak menunaikan janji kosong itu.

"Saya berharap dan berdoa agar pelajar kita di universiti lebih rasional dan menerima hakikat bahawa mereka telah dibantu melalui PTPTN dan setelah bekerja, mereka bersedia pula membayar balik pinjaman itu untuk membolehkan generasi muda yang lain menikmati faedah yang serupa," kata Hamdan.

Seorang bapa, Hamed Md Nasir pula berkata banyak mufti dan tokoh agama sudah membuat kenyataan bahawa yang namanya hutang termasuk pinjaman PTPTN mestilah dibayar balik kerana seorang pemimpin pembangkang tidak berhak untuk dengan mudah menghalalkan pinjaman itu yang disediakan daripada wang rakyat.

"Ini duit rakyat, yang diuruskan dengan baik oleh kerajaan selama ini, mana boleh seorang sahaja mahu menghapuskan dan menghalalkannya? Lagi pun sistem yang ada sudah berjalan dengan baik, biarlah ia berterusan untuk faedah generasi akan datang juga," katanya, yang sentiasa mengingatkan anaknya sendiri supaya membayar balik pinjaman PTPTN.

Beliau berkata kalau tol bolehlah dihapuskan apabila lebuh raya yang dibina sebagai sebuah perniagaan sudah mendapat pulangan modal dan keuntungannya, namun PTPTN bukan satu bentuk perniagaan, malah berupa tabung kebajikan untuk membolehkan mereka yang kurang mampu membiayai pengajian masing-masing.

Dalam belanjawan 2012, sektor pendidikan diperuntukkan RM50.2 bilion untuk manfaat rakyat yang bermula daripada peringkat prasekolah dengan matlamat memastikan 87 peratus kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun mendapat pendidikan awal.

Bagi peringkat pasca siswazah pula, sebanyak RM2.68 bilion disediakan untuk pembiayaan pengajian hingga ke tahap Ph.D untuk 55,200 orang sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-10.

Pelbagai usaha yang sedang dan akan dijalankan oleh kerajaan boleh dibaca ringkasan dan datanya dalam buku kecil "Pendidikan Berkualiti & Berkemampuan" terbitan Jabatan Penerangan.

Sementara itu, pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Mohd Razali pula berpendapat isu PTPTN yang dibangkitkan hanyalah untuk meraih sokongan bagi pilihan raya umum yang akan datang.

"Golongan anti-establishment di kalangan pelajar memang sudah lama wujud. Namun kini mereka cuba ditonjolkan oleh pembangkang. Jelas ini hanyalah modal untuk pilihan raya," katanya.

Beliau berkata PTPTN sebenarnya banyak membantu, terutama dalam memberikan peluang supaya semua orang boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, manakala biasiswa masih ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi pelajar cemerlang.

"Tetapi bagi mereka yang berada di golongan pertengahan, mereka ada pilihan untuk membuat pinjaman ataupun tidak, bergantung kepada kemampuan. PTPTN bukannya satu paksaan dan tidak perlulah ada pihak yang cuba-cuba menjadi hero nak menghapuskannya," katanya.

Rata-rata ramai berpendapat bahawa seharusnya rakyat mensyukuri nikmat daripada faedah PTPTN mahupun bantuan lain dalam bidang pendidikan yang disediakan oleh kerajaan dan tidak sekali-kali terseret menjadi golongan yang tidak mensyukuri nikmat.

"Politik, politiklah... tapi benda yang baik, janganlah nak diburuk-burukkan semata-mata kerana nakkan undi. Berpolitiklah dengan matang," kata Hamed, bekas pekerja swasta yang mengakui tidak bersekolah tinggi tetapi tidak mudah dikelabui matanya oleh janji pembangkang.

"Siapa yang zalim sebenarnya... kerajaan yang bagi pinjaman hingga anak kita dapat belajar di universiti atau pembangkang yang mengajar anak-anak kita jangan bayar hutang?" katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan