Rumah AJK PAS Pusat Disimbah Cat Merah

Diterbitkan: Rabu, 25 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Rumah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman, di Felda Bukit Ramun, dekat Kulaijaya di sini disimbah cat merah dalam kejadian awal pagi Rabu.

Mazlan berkata kejadian itu disedari kira-kira pukul 3.15 pagi oleh isterinya yang terdengar bunyi kereta dan pergerakan tapak kaki di kawasan hadapan dan tepi rumah.

"Saya cuba mengintai melalui tingkap bilik tetapi tidak nampak apa-apa kerana keadaan yang gelap. Saya keluar untuk memeriksa luar rumah kira-kira 15 minit kemudian dan mendapati ada simbahan cat merah di bahagian pintu dan beranda hadapan," katanya kepada pemberita, Rabu. Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata dia turut menemui satu beg plastik berisi cat merah di lantai beranda rumah berkenaan.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai didalangi oleh pihak yang tidak senang dengan perjuangannya dalam menyelesaikan isu tanah dan Felda.

Katanya, satu laporan berhubung kejadian berkenaan dibuat di Balai Polis Bukit Besar, Kota Tinggi, pada pukul 10.45 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan