PPH Beri Manfaat Kepada Penduduk Pedalaman Sabah & Sarawak - Tan

Diterbitkan: Rabu, 25 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Program Penyeragaman Harga (PPH) yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dilihat berjaya memberi manfaat kepada pengguna di seluruh negara khasnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata dengan terlaksananya program ini, penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak dapat menikmati harga barangan bersubsidi pada harga yang sama seperti pengguna di Semenanjung.

"Sehingga kini, kerajaan masih meneruskan program ini bagi menyeragamkan harga barang kawalan yang merupakan barang keperluan di seluruh negara," katanya semasa menjawab soalan Senator Yunus Kurus pada persidangan Dewan Negara, Rabu.

Tan berkata sebagai contoh, sebelum ini di Bario, Sarawak, harga petrol RON95 dan diesel mencecah RM5 seliter, manakala gas petroleum cecair (LPG) mencecah RM110 setong (14 kilogram) namun setelah pelaksanaan program ini, penduduk Bario dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.90 seliter dan LPG pada harga RM26.60 setong.

Beliau berkata jika sebelum ini harga barangan kawalan di kawasan itu adalah tinggi disebabkan faktor bentuk muka bumi yang meningkatkan kos pengangkutan namun selepas kejayaan pelaksanaan program ini penduduk dapat membeli barangan itu pada harga kawalan.

Beliau berkata melalui program ini, kerajaan telah melantik pengedar tempatan untuk membawa barang keperluan seperti beras, gula, tepung gandum kegunaan am, minyak masak, LPG, petrol dan diesel ke kawasan pedalaman.

"Selain daripada barang subsidi yang telah ditentukan, kerajaan juga telah menetapkan supaya pengedar membawa 50 jenis barangan lain bergantung kepada permintaan penduduk setempat," katanya.

Tan berkata kementerian telah memastikan pengedar perlu membawa 60 peratus barangan keperluan subdisi dan 40 peratus barangan Coop 1Malaysia ke kawasan luar bandar serta pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Produk Coop 1Malaysia telah terjual di Sabah dan Sarawak pada harga sama dengan di Semenanjung dan boleh dikatakan 1Malaysia 1Harga," katanya.

Berkaitan penyeragaman semua harga barangan dan perkhidmatan di Sabah dan Sarawak, hanya barang keperluan subsidi telah diseragamkan tetapi tidak bagi harga perkhidmatan, kata Tan. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan