PM Tunai Janji Perbaiki Kehidupan Masyarakat India

Diterbitkan: Rabu, 25 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MIC menyeru masyarakat India supaya mempunyai keyakinan dan memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau adalah pemimpin yang berpegang teguh pada janji dan sentiasa mengutamakan keperluan seluruh rakyat Malaysia.

Setiausaha agung parti itu S. Murugesan berkata Najib juga tidak pernah memejam mata terhadap pahit getir yang dialami kaum India di negara ini dan beliau telah membantu menyelesaikan pelbagai masalah tertangguh masyarakat itu seperti perkara yang melibatkan dokumen mengenalan diri, pendidikan dan peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan.

Perdana menteri mengotakan janji beliau untuk memberi layanan secara saksama dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat dengan meletakkan asas yang diperlukan dalam semua aspek transformasi politik, ekonomi dan pentadbiran, katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Sejak mula menyandang jawatan perdana menteri pada 2009, Najib memperkenalkan pelbagai langkah dan inisiatif seperti penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti masalah dan meringankan beban masyarakat India.

"Peningkatan keyakinan masyarakat India terhadap Barisan Nasional (BN) terhasil secara langsung daripada usaha ikhlas kerajaan untuk membantu mereka," katanya.

Murugesan menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang bersedia mendengar keluhan rakyat serta sanggup turun padang untuk meninjau keadaan mereka dan tidak pernah kehilangan fokus terhadap usaha menyelesaikan masalah masyarakat India.

Beliau berkata ini terbukti apabila 5,593 daripada 9,529 pemohon, kebanyakannya berketurunan India, diberi kerakyatan Malaysia.

Katanya lagi kerajaan BN telah menunaikan ikrarnya untuk memberi pendidikan berkualiti kepada masyarakat India dan mengikut rekod, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM440 juta sejak 2009 untuk menaik taraf sekolah Tamil.

Kerajaan juga menyediakan 1,000 tempat tambahan di peringkat matrikulasi untuk pelajar India yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011, katanya.

Beliau berkata bagi pengambilan 2012 untuk pelajar yang mengikuti kursus lepasan ijazah, kerajaan akan memberi biasiswa penuh kepada 100 pelajar India yang mendapat ijazah kelas pertama.

Dalam bidang perniagaan pula, Murugesan berkata kerajaan memberi komitmen untuk menyediakan peruntukan RM60 juta bagi melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dalam masyarakat India.

Sambil memuji pendekatan secara langsung yang menjadi amalan Najib, Murugesan berkata usaha yang dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan pemilik kedai runcit berketurunan India sudah mula menampakkan hasilnya dan langkah ini akan diperluaskan kepada lebih banyak kedai serta sektor ekonomi lain.

Kata beliau kerajaan juga melaksanakan satu pendekatan baru dengan menubuhkan sebuah unit yang diterajui Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dengan tujuan meningkatkan penyertaan kaum India dalam pelbagai projek dan inisiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Dr Sivamurugan Pandian, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia pula berkata Najib memang ikhlas dalam membantu masyarakat India dan sekiranya beliau mendapat sokongan lebih besar pada pilihan raya umum akan datang, masyarakat India akan memperoleh manfaat lebih besar sebagai balasan bagi 'nambikai' (kepercayaan) mereka.

"Oleh itu, masyarakat India perlu bergerak ke hadapan dengan menerima perubahan yang berlaku di seluruh negara dan membalas pengiktirafan serta penghormatan yang diberi kepada mereka oleh kerajaan BN sekarang yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan