Jangan Terpengaruh Dengan Dasar Populis Pembangkang - Dr Chua

Diterbitkan: Rabu, 25 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Rabu, mengingatkan rakyat supaya menolak dasar populis yang diwar-warkan oleh pembangkang kerana ia sebenarnya menggadaikan kepentingan generasi akan datang.

Beliau berkata banyak negara Kesatuan Eropah menghadapi kemelesatan ekonomi ketika ini termasuk bangkrap dan kadar pengangguran yang tinggi kerana mereka mengamalkan dasar populis.

"Apa yang rakyat harus mahukan ialah transformasi yang dapat memberi jaminan dan penunjuk kepada hala tuju pembangunan negara," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Makan Malam Transformasi Klang di sini, malam Rabu.

Misalnya, Dr Chua berkata dasar populis Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah untuk menghapuskan hutang pelajar yang mengambil pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM43 bilion sekiranya mereka menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Beliau berkata perkara itu ternyata mustahil dikotakan kerana banyak janji dalam manifesto pembangkang pada PRU lepas masih tidak ditunaikan sehingga hari ini.

Katanya ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang juga dilihat tidak sepakat dalam menyatakan pendirian berhubung pemansuhan PTPTN dan justeru itu beliau mendesak DAP untuk menyatakan pendiriannya berhubung isu berkenaan.

Beliau seterusnya mengutarakan tiga persoalan kepada masyarakat Cina iaitu sama ada mereka boleh memastikan pembangkang dapat mentadbir negara lebih baik jika dapat menggantikan Barisan Nasional (BN).

Sama ada pembangkang dapat memberi jaminan bahawa mereka akan membela nasib semua kaum terutama kaum Cina berbanding BN dan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya mentadbir negara, katanya.

Beliau juga mencabar PAS untuk menyatakan sama ada Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya mentabir kerajaan selepas PRU ke-13.

Dalam pada itu, Dr Chua membayangkan kemungkinan bertanding pada PRU ke-13 apabila menyatakan kekaguman beliau terhadap Nik Abdul Aziz yang masih ingin bertanding dalam pilihan raya walaupun sudah lanjut usia.

"Saya suka Nik Aziz sebab dia sudah berusia 81 tahun dan masih nak pertahan kerusi serta bertanding. Jadi ini bermakna orang tidak akan cakap Dr Chua sudah tua masih nak bertanding lagi.

"Dr Chua lagi muda, saya hanya berusia 65 tahun...dalam bab ini saya suka dia (Nik Aziz), bukan sokong dia sebagai Perdana Menteri," katanya secara berseloroh. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan