Rafizi: PKR Tidak Tahu Kandungan Video Nalla

Diterbitkan: Selasa, 24 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia berhadapan dengan pendedahan Senator Datuk S. Nallakaruppan berupa rakaman video yang mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli menyifatkan 'bukti' yang dikemukakan Nallakaruppan itu sebagai satu lagi cubaan untuk memburukkan Anwar.

"Kami sudah menentang Umno dan BN sejak lebih 14 tahun, jadi pastinya kami sudah bersedia untuk hadapi ini.

"Mereka boleh kemukakan apa sahaja video. Jika ada, kemukakan. Kami yakin boleh atasi isu ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Nallakaruppan menyerahkan video untuk dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan kes saman ke atasnya oleh Anwar.

Pada Isnin, Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) menyerahkan video berkenaan kepada peguamnya, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.

Mengulas lanjut, Mohd Rafizi berkata parti itu tidak mengetahui mengenai kandungan video berkenaan.

"Kami tak pernah tahu tentang kewujudan video ini. Saya pun tak nak tengok video ini.

"Tapi kita serahkan kepada rakyat untuk nilai. Saya yakin rakyat akan membuat penilaian mereka sendiri tentang perkara ini," katanya.

Pada 26 Mac lalu Anwar memfailkan saman terhadap Nallakaruppan berhubung perkataan-perkataan yang mencemarkan nama baiknya melalui kenyataan yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia pada 20 Mac.

Beliau turut menamakan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd sebagai defendan kedua dan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar berkenaan, Datuk Abdul Aziz Ishak, sebagai defendan ketiga.

Anwar mendakwa perkataan-perkataan fitnah yang terkandung dalam artikel akhbar itu adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan