PKR Dakwa Pengarah Eksekutif Sewa Aset Peribadi Kepada NFCorp

Diterbitkan: Selasa, 24 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Selasa meneruskan pendedahan terhadap National Feedlot Corporation (NFCorp) apabila mendakwa pengarah syarikat itu mendapat pulangan lumayan daripada hartanah yang dibeli menggunakan dana Pusat Fidlot Nasional (PFN) dan kemudiannya disewakan kembali kepada NFCorp.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, berdasarkan carian yang diperolehi daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan dua premis utama yang digunakan bagi operasi NFCorp adalah milik pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh dan anaknya Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh.

Dakwa Mohd Rafizi lagi, melalui semakan daripada rekod kewangan NFCorp, didapati syarikat itu membayar sebanyak RM36,240 kepada Mohamad Salleh dan Wan Shahinur Izran.

"Bukti yang paling kukuh ialah dua premis utama operasi NFCorp iaitu pejabatnya di alamat L-3A, No 2, Jalan Solaris Mont Kiara dan restoran mewah Meatworks di alamat 2G 3A, Jalan Solaris 5, Solaris Mont Kiara.

"Didapati sebanyak RM28,000 setiap bulan dibayar kepada Wan Shahinur Izran dan RM8,240 pula dibayar kepada Mohamad Salleh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Selain itu menurut Mohd Rafizi turut menggesa agar Mohamad Salleh dan Wan Shahinur Izran disiasat atas kemungkinan kesalahan pecah amanah wang syarikat.

"Dua orang pengarah NFCorp telah menyalahgunakan wang syarikat dengan mendapatkan pinjaman bank bagi hartanah yang kemudiannya disewakan kembali kepada syarikat.

"Jadi persoalannya ia adakah urusniaga pembelian hartanah atas nama peribadi tetapi dibayar menggunakan kutipan sewa dari NFCorp dan syarikat bersekutu ini mendapat kelulusan Lembaga Pengarah?

"Jika tidak, Mohamad Salleh dan Wan Shahinur Izran perlu disiasat atas kemungkinan pecah amanah wang syarikat," katanya.

Tambah Mohd Rafizi, kaedah membeli hartanah atas milikan peribadi dan dibiayai oleh bayaran sewa oleh NFCorp dan syarikat bersekutu turut digunapakai dalam hartanah-hartanah lain milik ahli keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu.

Katanya, ruang niaga restoran yang disewa oleh Real Food Company (RFC) bagi operasi restoran Meatworks di Mont Kiara dimiliki oleh Wan Shahinur Izran.

"Carian rasmi di JPPH menunjukkan beliau mempunyai dua ruang kedai iaitu unit dua dan tiga. Unit dua berharga RM8.4 juta sementara unit dua berharga RM5.7 juta.

Ruang ini disewakan kepada RFC yang membayar sewa bulanan kepada Wan Shahinur Izran menggunakan dana RM250.

"Walaupun saya tidak mempunyai rekod kewangan terperinci bagi RFC dan syarikat-syarikat bersekutu yang lain, saya percaya Wan Shahinur Izran turut mendapat bayaran sewa yang lumayan dari dua ruang restoran yang dimilikinya.

"Saya menganggarkan beliau memperolehi pendapatan sewa RM150,000sebulan dari dua unit hartanah bernilai RM14.1 juta ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan