Pihak Berkuasa Perlu Tegas Dalam Hadapi Perhimpunan - Rais

Diterbitkan: Selasa, 24 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Pihak berkuasa perlu bertegas dalam isu penganjuran perhimpunan oleh badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang di ibu negara Sabtu ini dengan mengambil kira kepentingan dan hak majoriti rakyat, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata Akta Perhimpunan Aman 2011 yang lebih adil telah diwujudkan bagi menggantikan Seksyen 27 Akta Polis 1967 dan ia perlu dihormati.

"Undang-undang negara sudah dipinda dan kepentingan masing-masing telah ditentukan dalam soal perhimpunan aman dan salah satu perkara yang ditekankan ialah kawasan penganjuran perhimpunan," katanya ketika diminta mengulas tindakan penganjur untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka walaupun ditawarkan lokasi alternatif.

"Jika mereka hendak juga kawasan (Dataran Merdeka) yang dikhususkan kepada orang ramai itu, sudah melanggar undang-undang," kata Rais.

Rais berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Merakyatkan Seni Budaya Komuniti 1Malaysia Parlimen Kapar di Kampung Batu 4 Kapar di sini dan mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Umno Kapar, yang merupakan bahagian angkat beliau.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini menawarkan Stadium Badminton Cheras, Stadium Bola Sepak Cheras dan Stadium Titiwangsa sebagai alternatif kepada larangan menggunakan Dataran Merdeka bagi aktiviti perhimpunan itu kerana Dataran Merdeka hanya diperuntukkan khusus kepada acara bertaraf nasional.

Perbadanan Stadium Malaysia juga menawarkan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai lokasi alternatif untuk perhimpunan tersebut.

Sementara itu, Rais berkata masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat 1Malaysia kini memahami tentang transformasi, faedah dan perubahan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam usaha mengingatkan rakyat mengenai kesan yang diterima hasil transformasi kerajaan itu, katanya kementerian akan cuba mewujudkan program sentuhan rakyat menerusi generasi baru di 1,140 Komuniti 1Malaysia di seluruh negara.

Dalam pada itu, Rais berkata angin perubahan telah jelas bertiup di Selangor dan penerimaan rakyat Selangor terhadap Barisan Nasional (BN) juga adalah jelas.

Beliau berharap rakyat Selangor tidak mudah terpedaya dengan dakyah-dakyah pakatan pembangkang kerana tiada pembangunan yang dilakukan mereka semasa memerintah.

Ditanya mengenai tindakan pembangkang mengedarkan radio bersiaran pembangkang di Sarawak, Rais berkata: "Memberi radio tidak salah dan jika mereka beri radio, rakyat harus ambil cuma bila dipusing stesennya pusinglah kepada RTM, itu yang paling baik." -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 3:30 PM

Ebba Tak Minat Jadi Jurutera

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan