Kecurian Peralatan Di Stadium Sultan Mizan Tidak Sampai RM50 Juta

Diterbitkan: Selasa, 24 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Status kes kecurian peralatan di Stadium Sultan Zainal Abidin (SSMZA), Kompleks Sukan Negeri Gong Badak masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Datuk Za'abar Mohd Adib.

Beliau berkata jumlah kerugian akibat kecurian berkenaan tidak sampai RM50 juta sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Katanya kompleks sukan berkenaan adalah di bawah Unit Pengurusan Kompleks Sukan Negeri di bawah pentadbiran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau berkata Syarikat keselamatan, MN Millenium Security Sdn Bhd dilantik untuk melaksanakan tugas-tugas keselamatan dan ia menyediakan 30 petugas yang bertanggungjawab menjaga keselamatan stadium ini sejak 2008.

"Soal kecurian, ada enam laporan polis telah dibuat dan kini pihak polis sedang menyiasat kecurian tersebut dan polis juga telah membuat siasatan forensik di kawasan lokasi terlibat sejurus menerima laporan.

"Sehingga kini siasatan bagi semua laporan masih berjalan. Taksiran kecurian masih dalam penelitian pihak Jabatan Kerja Raya, ada kata sehingga RM50 juta dan sebagainya, memang ada akhbar melapor dan ada penafian dibuat mengenainya," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Burok) yang bertanyakan status kes kecurian barangan dan kelengkapan di stadium berkenaan dan bila stadium itu boleh digunakan semula.

Za'abar berkata dokumen tawaran juga sedang disediakan bagi tujuan pembaikan secara berperingkat runtuhan bumbung stadium yang berlaku pada 2 Jun 2009.

"Bagi kerja-kerja struktur, tender dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat dan siap seawal 2013, barulah kerja-kerja mekanikal dan elektrikal termasuk bumbung baru dibuat selepas pembaikan secara berperingkat dibuat.

"Ia bersesuaian dengan kajian yang telah dilaksanakan oleh syarikat perunding integriti yang dilantik oleh kerajaan negeri," katanya.

Stadium dengan kos RM292 juta, yang menjadi venue utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008, mampu memuatkan 50,000 penonton pada satu-satu masa. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan