Tuanku Mukhriz Dukacita Penyalahgunaan Teknologi Maklumat Untuk Judi Siber

Diterbitkan: Isnin, 23 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir melahirkan rasa dukacita terhadap segelintir rakyat negeri ini yang menyalahgunakan kemajuan teknologi maklumat dengan menjalankan aktiviti perjudian siber.

Baginda bertitah aktiviti tersebut yang bukan hanya beroperasi di kawasan-kawasan bandar tetapi juga kawasan luar bandar termasuk kawasan Felda telah menarik penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah.

"Ia telah menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat berikutan berlakunya pelbagai masalah jenayah dan gejala sosial. "Dalam hubungan ini, Beta ingin menggesa rakyat bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung aktiviti perjudian siber ini," titah baginda semasa merasmikan istiadat pembukaan persidangan pertama penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-12, di sini, Isnin.

Titah baginda dalam usaha untuk memantap serta memperkasa pengetahuan rakyat untuk menggunakan kemudahan teknologi maklumat, perhatian serius juga perlu diberikan ke atas unsur-unsur negatif yang menular menerusi kecanggihan teknologi ini. Titah baginda peranan teknologi maklumat dalam pembangunan negara kini semakin penting dan menjadi alat berkesan dalam sistem penyampaian selain memudahkan urusan harian melibatkan rakyat dengan agensi kerajaan.

Dalam titah ucapannya, Tuanku Muhriz turut melahirkan rasa sukacita dengan pencapaian dan pembangunan negeri yang disifatkannya adalah hasil daripada pengurusan yang cekap dan berkesan di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Titah baginda hasil pelaksanaan pelbagai program pembangunan yang berkesan telah membawa kepada pertumbuhan positif ekonomi negeri di mana pencapaian memberangsangkan dapat dilihat dengan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar iaitu kepada RM22 bilion pada tahun lalu berbanding RM20.8 bilion tahun sebelumnya.

"Beta yakin pencapaian yang memberangsangkan setakat ini akan dapat dipertingkat lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Dengan sokongan dan kerjasama yang telah dipamerkan oleh semua pihak Negeri Sembilan mampu mencapai sasaran pembangunan yang lebih tinggi," titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah, kebelakangan ini terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan isu-isu yang boleh menjejaskan perpaduan negara.

Titah baginda tindakan sedemikian amat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat dan seterusnya memusnahkan kejayaan yang dicapai hari ini dalam sekelip mata.

"Sesungguhnya kerajaan telah menyediakan pelbagai ruang dan platform bagi rakyat menyampaikan pandangan untuk diberikan perhatian. Beta ingin menasihatkan agar semua pihak yang kurang berpuas hati ke atas sesuatu supaya menggunakan saluran yang disediakan dan sentiasa mengamalkan budaya bermuafakat," titah baginda.

Terdahulu Tuanku Muhriz yang diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud memulakan majlis tersebut dengan menerima hormat diraja sebelum memeriksa barisan kehormat dari Batalion ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) terdiri daripada 103 anggota yang diketuai Mejar Mohamad Yusof.

Hadir sama Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu Datuk Musa Wahab, Undang Luak Johol Datuk Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Rembau Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan