Kejayaan Program Transformasi Bantu Pertumbuhan Ekonomi Terengganu - Sultan Mizan

Diterbitkan: Isnin, 23 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Persekitaran ekonomi negara yang semakin baik berikutan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi dan inisiatif polisi makroekonomi kerajaan Pusat, memberi impak positif kepada persekitaran kondusif pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah keadaan itu menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Terengganu pada tahap pertumbuhan 4.5 peratus tahun lalu dengan jumlah pelaburan tempatan RM531.98 juta yang memberi peluang pekerjaan kepada 1,664 orang.

Titah baginda, jumlah pelaburan asing sebanyak RM1.087 bilion turut menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 2,701 orang.

Sepanjang tahun lepas, empat projek besar diluluskan iaitu projek Bioteknologi CJ-Arkema, projek besi keluli Eastern Steel Sdn Bhd, projek pallet Besi Perwaja Steel Sdn Bhd dan projek silika TRG Industrial Minerals Sdn Bhd.

"Jika persekitaran ekonomi ini dapat bertahan, dijangka KDNK Terengganu akan mencapai pertumbuhan 4.5 peratus hingga 5 peratus pada tahun ini," titah baginda semasa merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, Isnin.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat itu.

Dalam keadaan ekonomi sedemikian, titah baginda dasar kerajaan negeri mengamalkan perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah adalah pilihan terbaik dengan memastikan hanya projek-projek berimpak tinggi kepada rakyat sahaja diutamakan.

Sultan Mizan bertitah walaupun sebelum ini baginda menjalankan tanggungjawab memerintah negara sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda sentiasa mengikuti perkembangan pembangunan Terengganu termasuk usaha kerajaan menangani masalah rakyat terutamanya golongan miskin.

"Berdasarkan statistik semasa, kadar kemiskinan di Terengganu berjaya dikurangkan sehingga ke tahap 3.18 peratus pada Disember lepas. Penyaluran bantuan kepada golongan miskin telah dapat mengurangkan bebanan dan dapat meningkatkan kualiti hidup yang lebih baik," titah baginda.

Sultan Mizan turut menitahkan kerajaan negeri memperbanyakkan program latihan kemahiran dan kerjaya agar golongan berkenaan mempunyai daya saing dalam merebut peluang ekonomi dan pekerjaan, sekaligus mampu keluar daripada belenggu kemiskinan.

Mengenai sektor pelancongan, baginda bertitah ia penyumbang penting ekonomi negeri Terengganu dan statistik terkini, sejumlah 275,241 pelancong berkunjung ke Tasik Kenyir tahun lalu berbanding 225,570 pelancong pada tahun sebelumnya. "Beta difahamkan pelabur turut berminat untuk bersama dengan kerajaan negeri bagi memajukan Tasik Kenyir melalui pembangunan resort-resort di situ serta pembinaan pulau sukan yang berasaskan pelancongan pertama di rantau ini yang difahamkan bakal dibangunkan tahun depan di Pulau Serindit dengan pelaburan RM550 juta," titah baginda, yang mahu keunikan Tasik Kenyir dimanfaatkan sepenuhnya.

Sultan Mizan bertitah Terengganu turut dikenali di seluruh dunia melalui penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Pertandingan Endurance Antarabangsa, Jambori Pengakap Malaysia ke-12, kejohanan Piala Monsun dan Le Tour de Langkawi.

"Beta berharap lebih banyak lagi penganjuran acara bertaraf antarabangsa dapat diadakan terutama pada tahun hadapan sesuai dengan Tahun Melawat Terengganu 2013," katanya.

Baginda juga tertarik dengan perkembangan sukan di Terengganu yang berjaya melahirkan ahli-ahli sukan yang terkenal bukan sahaja di rantau Asia, malah di peringkat dunia dan Olimpik.

Sultan Mizan bertitah baginda sedia maklum berhubung cadangan penubuhan daerah baru Kuala Nerus yang melibatkan kawasan seluas 39,890 hektar dan kawasan tapak pusat pentadbiran seluas 245.94 hektar.

"Kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan awal RM20 juta bagi kerja-kerja tanah dan diharap daerah baru itu dapat memberi manfaat yang besar kepada rakyat daripada segi sistem penyampaian kerajaan, pembangunan hartanah, peluang perniagaan dan pekerjaan," titah baginda. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan