Isu Pendapatan Rakyat Malaysia Perlu Dipelihara - PM

Diterbitkan: Isnin, 23 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelaksanaan Kos Sara Hidup di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)adalah cara bagaimana beliau memastikan bahawa isu pendapatan rakyat dipelihara.

Perdana Menteri berkata pelbagai langkah diperkenalkan untuk membantu rakyat di bawah NKRA, terutamanya golongan miskin dan kaum buruh dalam meringankan beban kewangan mereka, dan RM36.7 bilion telah dibelanjakan untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, dari 2010 hingga 2011.

"Rakyat Malaysia yang bertungkus lumus bekerja tidak harus dihukum dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Oleh itu, dalam bekerja keras untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, kerajaan yang saya ketuai ini, tidak akan menjejaskan kepentingan golongan miskin dan buruh. "Saya akan melakukan yang terbaik untuk menangani kenaikan kos dan mencari jalan untuk mengurangkan kesannya terhadap rakyat melalui proses transformasi," kata beliau dalam entri terbaharu blog,www.1Malaysia.com pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat supaya terus bersama beliau dan berganding bahu untuk mengubah negara ini ke arah yang lebih makmur.

Najib berkata sebagai seorang Perdana Menteri yang bertanggungjawab, beliau tidak harus membiarkan masyarakat, misalnya penduduk di Kampung Bantal, Pahang, tercicir daripada pembangunan negara.

"Sebelum ini, banyak kampung di Malaysia yang sudah saya lawati dan sesetengahnya didiami oleh masyarakat yang tergolong daripada golongan bependapatan rendah dengan gaya hidup yang hampir primitif. Salah satu kampung yang saya paling ingat ialah Kampung Bantal. "Penduduk di sini hidup dengan keperluan yang asas dan pendapatan mereka yang rendah menjadikan kehidupan mereka lebih sukar untuk ditempuhi," katanya.

Beliau berkata di bawah inisiatif seperti itu, subsidi diberi untuk mengekalkan harga petrol RON 95 pada RM1.90 seliter, gas memasak, gula dan keperluas harian lain.

"Sebagai tambahan, saya juga telah mengumumkan pemberian pakej bantuan kewangan sekali bayar (atau lebih dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1 Malaysia, BR1M) sebanyak RM500, bagi isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah. "Sebanyak 4.78 juta isi rumah di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada bantuan ini. Matlamatnya adalah untuk membantu golongan miskin dan buruh, seperti penduduk-penduduk Kampung Bantal yang berpendapatan kurang daripada RM800, untuk menghadapi peningkatan kos sara hidup," katanya.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang masih bersekolah, Najib berkata beliau mendengar kebimbangan mereka dan mengedarkan bantuan RM100 bagi setiap kanak-kanak yang bersekolah untuk mengurangkan perbelanjaan 'kembali ke sekolah' mereka.

"Inisiatif itu keseluruhannya merupakan bantuan sebanyak RM530 juta yang telah disalurkan kembali kepada Rakyat.

"Langkah inovatif yang lain, seperti Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia juga telah dilancarkan di bawah NKRA Kos Sara Hidup," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan