Tunku Laksamana Kedah Buat Laporan Polis Mengenai Pindaan Enakmen

Diterbitkan: Ahad, 22 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Tunku Laksamana Kedah, Tunku Mansor Tunku Kassim pada Ahad membuat laporan polis berhubung langkah Dewan Undangan Negeri Kedah yang meminda satu enakmen untuk memberi kuasa penuh kepada mufti dan jawatankuasa fatwa.

"Saya buat laporan kerana rasa bimbang dengan kerajaan negeri yang meluluskan Seksyen 22A dalam yang mana seolah-olah merendahkan kewibawaan, kedaulatan dan kuasa Sultan Kedah sebagai Ketua Agama Islam Negeri," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Alor Setar di sini pada 9.30 pagi Ahad.

Dewan Undangan Negeri baru-baru ini meminda Seksyen 22A Enakmen Mufti dan Fatwa Negeri Kedah 2008 untuk memberikan kuasa penuh kepada mufti dan jawatankuasa fatwa berhubung agama dan orang Islam di negeri ini.

Berikutan pindaan itu, semua keputusan yang dibuat mufti dan jawatankuasa fatwa tidak perlu diwartakan dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah, sama ada syariah atau sivil.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Badan Selamatkan Madrasah Salihiah Kanchut, Mansor Ahmad menyangkal kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak baru-baru ini bahawa jawatankuasa itu telah menarik balik injunksi yang difailkan untuk menghalang madrasah yang dibina pada 1909 itu daripada dirobohkan.

"Kami tidak pernah menarik balik pemohonan seperti yang Azizan katakan tetapi kami ingin nyatakan bahawa ini hanya baru permulaan di mana kami menarik permohonan lama dan akan menggantikannya dengan permohonan baru," katanya.

Katanya Mahkamah Tinggi Alor Setar telah memberi masa kepada mereka untuk memfailkan semula permohonan itu dan jawatankuasa juga telah melantik peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan