Kerajaan Akan Umum Bebarapa "Touch Point" Untuk Rakyat

Diterbitkan: Ahad, 22 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan beberapa lagi program 'touch point' (program penting dan menyentuh) rakyat khususnya generasi muda, sekaligus memperlengkap ke arah menjayakan program transformasi kerajaan, kata kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata berita gembira itu akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

"InsyaAllah, saya telah diberitahu oleh Perdana Menteri tidak berapa lama lagi, ada lagi beberapa bentuk touch point baru yang akan dilaksanakan termasuklah yang akan menyentuh soal anak-anak muda di negara ini," katanya ketika melancarkan kempen 'BN Pilihan Orang Muda' di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini, Ahad.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, berkata pengumuman 'touch point' baru itu bakal melengkapkan siri bantuan yang diumumkan sebelum ini dan program transformasi kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan persekolahan serta Program Bursary kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2011 cemerlang.

"Jadi apa pilihan anak muda, apa pilihan kita semua? Ya!, pilihan kita semua adalah Barisan Nasional, bukan hanya untuk orang muda tapi mereka yang agak berusia juga tidak ada pilihan, kecuali BN sebagai parti yang memperjuangkan nasib kita," kata Timbalan Presiden Umno itu.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, mahu semua anak muda BN supaya meneruskan momentum sokongan yang bertambah baik kepada parti itu dengan turun padang bertemu setiap pengundi muda bagi menyedarkan kepentingan menyokong BN.

Katanya tanggungjawab semua anak muda BN adalah turun ke seluruh pelosok di Wilayah Persekutuan untuk bertemu pengundi dan memujuk mereka untuk bersama berjuang dalam BN.

"Janjikan kepada mereka bahawa BN akan membela nasib mereka. Temuilah mereka dengan cara kita yang baik, sopan, dengan perkataan yang sesuai, pujuk supaya mereka yakin BN akan membela nasib mereka sekarang dan juga di masa depan," katanya.

Hadir sama Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Rashid Shirlin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan