Cadangan Mansuh PTPTN Bukti Pembangkang Tidak Sepakat - Mustapa

Diterbitkan: Ahad, 22 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata isu pemansuhan pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) oleh pakatan pembangkang membuktikan bahawa mereka tidak sepakat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan itu berkata pemimpin pakatan pembangkang tidak membuat kajian serius sebelum mengemukakan cadangan itu selain implikasinya jika ia dilaksanakan.

"Ini membuktikan mereka tidak sepakat dan tidak membuat kajian ke atas kesannya kepada kerajaan sekiranya dilaksanakan cadangan itu. Ia semata-mata untuk mendapat sokongan terutama golongan muda," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Jabatan Pelajaran Kelantan, di sini Ahad.

Mustapa berkata parti di bawah pakatan pembangkang ternyata mempunyai pandangan berbeza dalam hal ini, apabila ia telah menjadi isu nasional sekarang terutama menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata pembiayaan pinjaman kerajaan menerusi PTPTN bukan semata-mata untuk keperluan bayaran yuran, malah ia merangkumi kegunaan lain seperti apa yang terpaksa ditanggung keluarga pelajar membeli pakaian, buku dan untuk wang saku.

Menurut Mustapa, pemimpin pembangkang tidak sedar wujudnya jurang antara rakyat miskin dan kaya serta institusi pendidikan tinggi awam dan swasta (IPTA-IPTS) dalam memperoleh peluang belajar di peringkat tinggi jika sistem pembiayaan pendidikan PTPTN ini dimansuhkan.

"Ini sekaligus boleh menjejaskan hasrat kerajaan melahirkan modal insan bermutu tinggi ke arah mencapai matlamat wawasan negara maju menjelang 2020," katanya.

Beliau mahu rakyat tidak terpengaruh dengan idea pembangkang dalam isu PTPTN ini kerana ia bukan sahaja boleh merugikan kerajaan tetapi rakyat di bawah sistem pendidikan negara sekarang.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Hussin Awang dan pegawai-pegawai pelajaran daerah dari seluruh negeri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan