PM Minta PNB Tambah Kegiatan Ekonomi Sabah

Diterbitkan: Sabtu, 21 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta syarikat dalam kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menambah kegiatan ekonomi di Sabah bagi mengagihkan peluang pelaburan yang lebih baik di negeri di Bawah Bayu ini.

Beliau berkata ini disebabkan Sabah mempunyai peluang pelaburan yang telah dikenal pasti dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), termasuk memajukan sektor kelapa sawit hiliran, meneroka rumpai mini laut, ladang mini dan pelancongan.

"Menerusi cara seperti ini, kita akan dapat menjamin bahawa pembaharuan ekonomi negara tidak tertumpu kepada satu kawasan, malah dapat dipelbagaikan untuk meliputi setiap wilayah di negara ini.

"Tidak kurang pentingnya dasar induk pembangunan seimbang dalam negara, termasuk Sabah, yang juga negeri penting bagi kita, dan kita mahu rakyat Sabah dapat banyak manfaat menerusi usaha yang dapat dilakukan oleh kerajaan pimpinan hari ini," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2012 di Kompleks Sukan Likas, dekat sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Najib turut berbangga terhadap syarikat yang tersenarai dalam kumpulan PNB, yang merupakan syarikat besar, yang mampu menjangkau pelaburan kepada seluruh pelusuk negara.

Beliau turut menyifatkan PNB sebagai sebuah institusi yang berjaya mengumpul dana terbesar dalam memacu pembangunan ekonomi negara, yang boleh dibanggakan sebagai salah satu dimensi kejayaan.

"Sabah, negeri di Bawah Bayu juga tidak ketinggalan, mendapat tempat kelima dalam susunan ranking mengikut negeri yang melabur dalam Skim Amanah Saham PNB," katanya.

MSAM yang merupakan penganjuran ke-13 oleh PNB, berlangsung selama sembilan hari bermula hari ini. Ia dibuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

MSAM kali ini turut mendapat kerjasama 12 syarikat pelaburan PNB, termasuk Maybank, Sime Darby Berhad, I&P Group Sdn Bhd, UMW Holdings, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua). BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan