Kabinet Lulus Garis Panduan Pemasangan Utiliti

Diterbitkan: Sabtu, 21 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kabinet pada Jumaat meluluskan satu garis panduan sistem pemasangan utiliti bawah tanah dan dijangka dikuatkuasakan tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.

Mengikut garis panduan itu, terowong bawah tanah akan dibina lebih luas dan sempurna supaya pemasangan kabel dan paip dapat dibuat secara sistematik dan mudah diselenggarakan, katanya.

Chor berkata, sistem ini akan diguna pakai bagi semua pembangunan kawasan atau bandar baru untuk menyeragamkan pemasangan dan penyelenggaraan utiliti agar tiada lagi budaya 'korek-kambus' yang berpanjangan.

"Sistem ini kita guna pakai dalam pembangunan Putrajaya tetapi tidak berapa sempurna," kata Chor kepada pemberita selepas menyampaikan geran tahunan dan Sumbangan Membantu Kadar (SMK) kepada 11 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam negeri Kedah di sini, Sabtu.

Beliau berkata, sistem ini bagaimanapun perlu dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) yang dianggotai Menteri Besar dan Ketua Menteri dan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang masing-masing hanya mengadakan mesyuarat dua kali setahun sebelum boleh dilaksanakan.

Mengenai tiga syarikat konsesi yang diberi tender mengutip sampah dan melupuskan sisa pepejal oleh KPKT, Chor berkata, kerajaan belum berpuas hati dengan tahap perkhidmatan yang diberikan ketiga-tiga syarikat itu.

"Saya sendiri memantau perkhidmatan mereka dan nyata rungutan orang ramai ada kebenarannya. Saya beri mereka tempoh sehingga September ini untuk mencapai KPI atau kontrak mereka dikaji semula," katanya.

Tiga syarikat konsesi itu ialah E-Idaman Sdn Bhd (Kedah dan Perlis), Alam Flora Sdn Bhd (bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang) dan SWM Environment Sdn Bhd (Johor, Melaka, Negeri Sembilan).

Katanya, kerajaan membayar ketiga-tiga syarikat ini sebanyak RM400 juta setahun dan mengharapkan perkhidmatan yang diberikan setimpal dengan bayaran yang diterima.

Ketika berucap sebelum itu, Chor yang juga anggota Parlimen Alor Setar mengumumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM7.5 juta bagi membina pasar awam baru menggantikan 'Pasar Koboi' di Jalan Sultan Abdul Halim di sini.

Katanya, pasar berkeluasan lantai 3,660.36 meter persegi setinggi dua tingkat, mempunyai 107 ruang niaga di tingkat bawah dan 40 gerai di tingkat atas dijangka siap dalam masa 15 bulan dari tarikh pembinaan September ini.

Pada tahun pertama Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) tahun lepas, KPKT menyalurkan peruntukan berjumlah RM32.285 juta bagi melaksanakan 516 projek di semua 11 PBT di Kedah dan sehingga 31 Mac 2012, sejumlah RM2.798 juta diluluskan bagi melaksanakan 39 projek kecil, katanya.

Chor berkata, dalam tempoh itu juga (tahun pertama RMK-10), kerajaan pusat menyalurkan RM13.2 juta untuk menaik taraf 37 pasar awam dan RM5 juta lagi bagi membina tujuh pasar baru di seluruh negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan