PRU13: Wanita Umno Sudah Siap Sedia - Shahrizat

Diterbitkan: Jumaat, 20 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Wanita Umno sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan hanya menunggu semboyan dibunyikan bagi memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di seluruh negara.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata peranan Wanita Umno dalam menghadapi pilihan raya umum, yang dianggap getir dalam sejarah itu, adalah sangat besar dan sebab itu persediaan menghadapinya dilakukan dengan sebaik mungkin.

"Adalah sedikit sebanyak (yang perlu dilengkapkan) tetapi Wanita Umno sudah bersedia untuk menunggu semboyan dibunyikan. "Kita sudah bertemu dengan semua Wanita di setiap wilayah seluruh negara dan persiapan kini di tahap yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas menziarah keluarga Faridah Ku Salleh, 47, yang kematian suami dalam satu kebakaran baru-baru ini di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini, Jumaat.

Shahrizat berkata pergerakan itu sudah pun menghantar senarai nama calon bagi menghadapi pilihan raya umum itu.

"Kira-kira 30 peratus yang akan bertanding pada pilihan raya umum bakal mewakili Wanita dan kita akan melakukan gerak kerja yang terbaik dengan calon yang terbaik bagi memenangkan BN. Ini yang utama," katanya. Ditanya sama ada beliau akan terus bertanding pada pilihan raya umum itu nanti, Shahrizat bagaimanapun terus berteka-teki dan berkata perkara itu adalah rahsia antaranya dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Itu rahsia saya dengan PM (Perdana Menteri)," katanya.

Sementara itu, Faridah mengucapkan terima kasih kepada Shahrizat yang melawat dan menyumbang RM7,000 kepadanya.

Suaminya Wan Masri Wan Mahmood meninggal dunia dalam satu kebakaran ketika merebus kacang di warung bersebelahan rumah mereka pada 6 April lepas.

Faridah berkata wang itu akan digunakan untuk perbelanjaan persekolahan lima daripada enam anaknya.

Turut hadir Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim, Ketua Wanita Umno Kelantan Datin Rahimah Abdullah dan Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa Datuk Dali Hussin. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan