MIC Kehilangan Pemimpin Komited Membantu Orang India

Diterbitkan: Khamis, 19 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel menyifatkan kematian Pengerusi Pulau Pinang parti itu Senator Datuk P.K. Subbaiyah sebagai kehilangan seorang pemimpin yang komited membantu kaum India di negara ini.

Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata MIC kehilangan seorang pemimpin yang dedikasi dan sentiasa berkhidmat dengan baik terhadap rakyat. "Mendiang adalah seorang pemimpin yang berkaliber dan jasanya akan dikenang oleh semua kaum India," katanya kepada pemberita selepas menziarahi mayat mendiang di sini.

Sementara itu, bekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu yang turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang, berkata Subbaiyah seorang pemimpin yang kuat bekerja dan disenangi oleh semua orang.

Yang turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Subbaiyah, 63, meninggal dunia awal pagi tadi di rumahnya di Taman Meranti, Bagan Ajam di sini, akibat serangan jantung ketika dalam tidur. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan