JKM P.Pinang Selamatkan 61 Gelandangan Di George Town

Diterbitkan: Khamis, 19 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang menyelamatkan 61 gelandangan yang berkeliaran di sekitar pusat bandar dalam 'Ops Pengemis dan Kutu Rayau' awal pagi Khamis.

Operasi bersepadu yang disertai 60 anggota itu turut melibatkan agensi lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan Jabatan Pendaftaran negeri.

Pengarah JKM negeri Zulkifli Ismail berkata operasi itu bertujuan membantu golongan terbabit serta membersihkan bandar ini daripada menjadi sarang kutu rayau, penagih dadah dan pengemis.

"Sebanyak 33 orang ditempatkan di pusat kebajikan manakala enam kes pelarian UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian) dan tiga kes warga asing dirujuk kepada Jabatan Imigresen. Selebihnya kita bebaskan dengan amaran," katanya kepada pemberita, di sini, Khamis.

Operasi empat jam yang berakhir pada pukul 4 pagi itu melibatkan lokasi di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Jalan Penang, Padang Kota Lama dan sekitar Jeti Pulau Pinang.

Beliau berkata JKM kini giat mengumpul data gelandangan dan menyiasat rekod lampau golongan terbabit.

Kes berulang yang dilihat melebihi amaran kedua katanya, akan dirujuk ke institusi di bawah seliaan JKM mengikut peruntukan Akta Orang Papa 1977.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bergelandangan selepas mendapat arahan berulang dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mengikut akta itu JKM boleh menahan seseorang individu bagi tujuan siasatan sehingga 30 hari, sebelum mendapatkan perintah tetap dari mahkamah," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan