Tanah Runtuh Akibat Kerja Sedut Pasir Di Sungai

Diterbitkan: Rabu, 18 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BALING: Enam pemilik tanah di Kuala Sungai Sedim, Mukim Tawar dekat sini bimbang kerana tanah mereka semakin teruk runtuh akibat kerja menyedut pasir dilakukan sebuah syarikat di sungai yang berhampiran.

Pemilik tanah berkenaan sudah beberapa kali mengemukakan masalah mereka kepada pihak Pejabat Tanah Daerah Kulim (PTDK) namun tiada sebarang tindakan sewajarnya diambil.

Kerja menyedut pasir itu dilakukan sebuah syarikat yang mendapat kebenaran daripada PTDK sejak dua tahun lalu yang masih berjalan seperti biasa.

Pemilik tanah terbabit mendakwa tanah mereka hampir 10 relung (2.88 hektar) yang dipenuhi tananam kelapa sawit dan pokok buahan, sudah runtuh ke dalam sungai berikutan kegiatan syarikat itu menyedut pasir.

Seorang daripada pemilik tanah tersebut, Abd Kadir Ahmad, 64, kesal dengan sikap pihak PTDK yang tidak menghiraukan masalah yang mereka hadapi itu.

"Saya hairan bagaimana PTDK boleh membenarkan syarikat itu meneruskan kerja menyedut pasir sedangkan bantahan sudah kami buat berulang kali," katanya.

Seorang lagi pemilik tanah yang mengusahakan tananam kelapa sawit, Abd Samad Abdullah, 84, berharap ada pihak yang mahu membantu mengatasi masalah mereka.

Warga emas ini mahu pihak pejabat Menteri Besar Kedah turun melihat kemusnahan yang berlaku ke atas tanah mereka dan beliau juga hairan aduan mereka langsung tidak mendapat perhatian berkenaan terutama PTDK.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP) Kampung Kuala Sedim, Ishak Mat Saman berkata mereka merancang satu perhimpunan bantahan disertai pemilik tanah dan keluarga mereka di hadapan PTDK dalam waktu terdekat.

"Kami kesal kerana kerakusan kerajaan negeri untuk mendapatkan sumber kewangan, tanah kami menjadi mangsa," katanya.

Pemilik tanah bimbang mereka akan kehilangan tanah yang runtuh ke sungai itu jika kerja menyedut pasir di sungai berdekatan tidak dihentikan segera. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan