Rayuan Terhadap AELB: Ongkili Kaji, Bincang Dengan Pakar - Berita Semasa | mStar

Rayuan Terhadap AELB: Ongkili Kaji, Bincang Dengan Pakar

Diterbitkan: Rabu, 18 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili akan mengkaji rayuan yang dikemukakan tiga individu terhadap keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) menganugerahkan lesen operasi sementara (TOL) bagi Lynas Advanced Materials Plant di Gebeng, Kuantan yang diluluskan 30 Januari lepas.

Menteri berkenaan juga akan berunding dengan pakar dan pihak berkuasa sebelum membuat keputusan terhadap rayuan berkenaan secepat mungkin, menurut MOSTI dalam satu kenyataan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di sini, Selasa.

Kenyataan itu menyebut Ongkili pada Selasa mendengar rayuan yang dikemukakan Ismail Abu Bakar, Tan Ah Meng dan Abujavalli V Raman, yang mendakwa terjejas dengan keputusan AELB yang dilakukan mengikut Seksyen 32 Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 pada satu sesi pendengaran yang diadakan di ibu pejabat Nuklear Malaysia di sini, Selasa.

"Menteri itu mendengar dan meneliti 14 perkara yang dibangkitkan peguam mereka sebagai asas kepada rayuan mereka.

"Peguam turut mengemukakan empat pemberi maklumat yang memberikan testimoni bagi menyokong beberapa isu dikemukakan perayu yang dianggap penting," menurut kenyataan itu.

Pada sesi pendengaran pada Selasa, Maximus memanggil empat individu untuk memberikan keterangan pakar termasuk seorang penilai daripada Jawatankuasa Penilaian Perundingan Awam, Jabatan Alam Sekitar dan seorang tokoh akademik.

Ketiga-tiga perayu diwakili Datuk Bastian Vendargon sebagai peguam utama bersama R. Sarengapani dan Hon Kai Ping. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan