Mendiang Subbaiyah Rakan Sekerja Yang Rajin Dalam BN - Gerakan

Diterbitkan: Rabu, 18 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan menyifatkan kematian Pengerusi MIC Pulau Pinang Senator Datuk P.K. Subbaiyah sebagai kehilangan seorang sahabat baik dan rakan sekerja yang rajin dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata mendiang seorang yang sangat berjasa kepada Pulau Pinang khususnya bagi masyarakat India kerana banyak memberikan sumbangan untuk kebajikan rakyat setempat.

"Saya dan mendiang mempunyai banyak persamaan, termasuk perbualan dalam bahasa Tamil, kami mempunyai hubungan kerja yang baik ketika sama-sama menjadi Exco sewaktu pentadbiran BN sebagai kerajaan negeri dahulu," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Subbaiyah, 63, meninggal dunia ketika dalam tidur, dipercayai akibat serangan jantung, di rumahnya di Taman Meranti, Bagan Ajam di sini pagi ini. Mendiang meninggalkan seorang isteri Vallini dan dua orang anak, Gowri dan Ganesh.

Bekas Anggota Exco Kerajaan Negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Prai selama dua penggal itu dilantik sebagai Pengerusi MIC negeri sejak tahun 2009 dan beliau dilantik sebagai Senator pada April tahun lepas.

Upacara pengebumian akan diadakan pagi Jumaat di rumah mendiang di Taman Meranti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan