Dewan Rakyat Lulus Dua Rang Undang-Undang - Berita Semasa | mStar

Dewan Rakyat Lulus Dua Rang Undang-Undang

Diterbitkan: Rabu, 18 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua Rang Undang-Undang iaitu Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2012 diluluskan oleh persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Rang Undang-undang itu, termasuk pindaan terhadap Kanun Keseksaan yang telah diluluskan semalam, adalah bagi melengkapi Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang turut diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2012 berkata penggunaan nama samaran ataupun ketanpanamaan oleh mana-mana pihak untuk melakukan jenayah siber menyukarkan tindakan diambil terhadap mereka.

Justeru, katanya Akta Keterangan 1950 perlu dipinda bagi menangani isu ketanpanamaan internet.

"Penggunaan nama samaran (oleh mana-mana pihak) amat menyukarkan pihak pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan dan penguatkuasaan kerana amat sukar untuk mendapatkan keterangan daripada nama samaran. "Itulah kita terpaksa meminda Akta ini supaya kita dapat mendakwa dan mentaksirkan kesalahan kepada mereka yang menggunakan nama samaran," katanya menjawab soalan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berhubung isu tersebut.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Keterangan pada bacaan kedua, Mohamed Nazri berkata penggunaan internet membolehkan sesiapa sahaja menyembunyikan identiti sebenar mereka dan ini menjadikan masalah ketanpanamaan pelaku kesalahan jenayah satu halangan paling besar dalam menangani jenayah siber dilakukan melalui internet seperti menghasut, menipu, menghina mahkamah, menceroboh dan mencuri maklumat.

Katanya pelbagai teknik digunakan oleh penjenayah untuk menyembunyikan identiti dan ada kalanya mustahil untuk menentukan punca sebenar sesuatu e-mel atau komunikasi elektronik yang lain.

"Penyelesaian bagi masalah ini ialah dengan mengalihkan tumpuan kepada pihak lain yang boleh dikenal pasti seperti pemilik komputer, pemilik alamat IP, pemilik alamat e-mel dan pemilik kelengkapan dan peralatan yang daripadanya kesalahan jenayah dilakukan, dan mengenakan anggapan liabiliti ke atas mereka tanpa mengira bahawa penglibatan mereka adalah secara langsung atau tidak langsung," kata beliau.

Justeru, Nazri berkata tujuan peruntukan anggapan berasaskan 'owner-onus principle' adalah untuk meringankan beban pembuktian berhubung dengan fakta tertentu. Bagaimanapun, katanya pihak pendakwa raya yang ingin bersandar kepada peruntukan anggapan mesti membuktikan terlebih dahulu kewujudan fakta-fakta tertentu sebelum anggapan boleh dibuat terhadap seseorang.

Pindaan pada Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 memperlihatkan pindaan pada Fasal 2 yang bertujuan menggantikan tarif komputer dengan takrif komputer yang baru yang lebih komprehensif dan selaras dengan takrif komputer dalam Akta Jenayah Komputer 1997.

Sementara itu, Fasal 3 Rang Undang-Undang tersebut memperuntukkan supaya memasukkan seksyen baru 114A bagi membolehkan mahkamah membuat anggapan fakta dalam kes yang melibatkan penyiaran melalui internet. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan