Senarai Calon MCA Telah Dikemas Kini - Liow Tiong Lai

Diterbitkan: Selasa, 17 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAPAH: Senarai calon MCA untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 telah dikemas kini untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bagaimanapun katanya, senarai itu mungkin diteliti semula sebelum diserahkan kepada Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"Ini bagi memastikan calon yang ada adalah calon boleh menang dan menjamin kemenangan BN. Proses (penelitian) itu bukan statik, ia proses berterusan," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Liow yang juga Menteri Kesihatan ditanya mengenai senarai calon parti itu susulan kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin bahawa parti komponen BN diberi masa dua minggu untuk menyerahkan senarai tersebut selepas menerima surat arahan yang mula dihantar pada Isnin.

Mengulas isu berkaitan, Liow berkata, hasil jelajah parti itu di seluruh negara mendapati sokongan pengundi kaum Cina terhadap BN semakin baik.

"Semasa saya turun di Gopeng saya rasakan penerimaan itu. Mereka juga merasakan kehilangan daripada segi perkhidmatan di peringkat akar umbi bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang (BN) tewas," katanya.

Liow berkata, pengundi juga mendakwa jarang melihat wakil rakyat pembangkang yang menang di kawasan mereka turun memberikan perkhidmatan.

"Rakyat ini tahu mereka ini (pembangkang) hanya suka main politik, hanya keluar kenyataan bukannya mahu memberi perkhidmatan di peringkat akar umbi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan