KWSP Sasar Pelaburan 23 Peratus Di Pasaran Antarabangsa

Diterbitkan: Selasa, 17 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menggiatkan pelaburan dalam ekuiti dan pendapatan tetap di luar negara sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagai pelaburan, selaras dengan mandat yang telah diberikan Kerajaan kepada KWSP untuk melabur sehingga 23 peratus daripada aset pelaburannya di pasaran antarabangsa.

Berucap pada Majlis Anugerah Pengurus Portfolio KWSP 2011, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata prestasi ekuiti dan pendapatan tetap di luar negara berjaya menjana pendapatan yang baik untuk pencarum pada 2011 bagi membolehkan KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.00 peratus membabitkan bayaran dividen sebanyak RM24.47 bilion walaupun KWSP mengekalkan profil risiko pulangan konservatif.

"KWSP merupakan tonggak kedua untuk persaraan hari tua bagi pekerja sektor swasta di Malaysia. Sebagai pemegang amanah simpanan persaraan kepada lebih 13 juta pencarum KWSP, tugas menguruskan hampir setengah trilion Ringgit simpanan persaraan ini merupakan satu tanggungjawab yang berat," katanya.

Beliau berkata dengan memberikan tumpuan kepada pelaburan luar negara, ia akan melengkapkan pelan pelaburan jangka panjang KWSP dan memberikan kadar pulangan yang munasabah kepada simpanan pencarum.

"KWSP menghadapi kekangan dalam pasaran domestik disebabkan produk pelaburan dan kecairan yang terhad untuk didagangkan dalam jumlah yang besar. Selain daripada mengurangkan risiko dalam pasaran domestik, pelaburan luar negara menawarkan peluang yang lebih tinggi untuk memperoleh keuntungan dalam jangka panjang," kata Samsudin.

Pada 2011, tambahan sebanyak US$5.54 bilion nilai pelaburan dalam mandat pelaburan luar negara telah dibuat dan secara kumulatif, modal yang telah disuntik dalam pelaburan bukan Ringgit setakat akhir tahun 2011 berjumlah kira-kira US$17 bilion.

Setakat 31 Disember 2011, jumlah pendedahan KWSP dalam aset pelaburan global (dari segi kos) ialah 13.37 peratus daripada jumlah aset.

Sementara itu, Anugerah Pengurus Porfolio Luaran 2011 menyaksikan sebanyak 10 anugerah disampaikan kepada pengurus portfolio luaran yang cemerlang, termasuk tiga anugerah baharu dalam kategori Ekuiti Antarabangsa yang membabitkan MSCI Ethical Asia (tidak termasuk Jepun dan Malaysia), FTSE ASEA N(tidak termasuk Malaysia) dan FTSE Ethical World Developed.

Amundi Malaysia Sdn Bhd diumumkan sebagai Pengurus Portfolio Ekuiti Domestik Keseluruhan Terbaik 2011, anugerah yang diberi berdasarkan prestasi kewangan untuk tempoh tiga tahun berturut-turut dan kualiti perkhidmatan.

Nomura Asset Management Malaysia Sdn Bhd dan Hwang Investment Management Berhad masing-masing dipilih sebagai pemenang kedua dan ketiga.

Anugerah Pengurus Ekuiti Domestik Pulangan Nyata Tiga Tahun Terbaik dan anugerah Pengurus Portfolio Ekuiti Domestik "Risk-Return" Terbaik, yang berdasarkan prestasi tiga tahun jumlah dana keseluruhan yang diukur melalui Nisbah Maklumat, turut dimenangi oleh Amundi Malaysia Sdn Bhd.

KAF Fund Management Sdn Bhd muncul sebagai pemenang Pengurus Portfolio Pendapatan Tetap Domestik Keseluruhan Terbaik dan 'engurus Pendapatan Tetap Domestik Pulangan Nyata Tiga Tahun Terbaik.

Bagi kategori ekuiti antarabangsa, anugerah Pengurus Porfolio Ekuiti Antarabangsa Terbaik Tahun 2011 untuk MSCI Ethical Asia (tidak termasuk Jepun dan Malaysia) dan Pengurus Porfolio Ekuiti Antarabangsa Terbaik Tahun 2011 untuk FTSE Asean (tidak termasuk Malaysia) dimenangi oleh Amundi Malaysia Sdn Bhd.

Aberdeen Asset Management Sdn Bhd memenangi anugerah Pengurus Porfolio Ekuiti Antarabangsa Terbaik Tahun 2011 untuk FTSE Ethical World Developed.

Sementara itu, Samsudin mengingatkan pengurus portfolio bahawa melabur di luar negara tidak terkecuali daripada cabaran memandangkan globalisasi telah menyebabkan pasaran saling berkait dan peristiwa dalam sesebuah negara boleh memberikan kesan terhadap keseluruhan pasaran global. "Adalah penting bagi pengurus porfolio membina hubungan dan rangkaian dalam pelbagai pasaran serta terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan, di samping memastikan wujud budaya persaingan memandangkan mereka yang memiliki kemahiran ini sememangnya akan mendapat faedah dengan prestasi yang lebih baik," kata Samsudin. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan