Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan Langkah Positif Baiki Hak Asasi Manusia: Suhakam

Diterbitkan: Isnin, 16 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012 menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 adalah langkah positif ke arah memperbaiki keadaan hak asasi manusia negara ini, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata, di samping itu, suruhanjaya itu juga mengambil maklum akan pindaan kepada Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950 dan Kanun Tatacara Jenayah yang dibentangkan pada 11 April, selepas buat bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 telah dibentangkan buat bacaan kedua pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hasmy berkata, sesetengah daripada peruntukan di dalam rang undang-undang itu mematuhi syor-syor suruhanjaya itu yang terkandung dalam laporan 'Review of the Internal Security Act 1960' yang diterbitkan pada tahun 2003.

"Di dalam laporan tersebut, suruhanjaya mengesyorkan agar ISA dimansuhkan dan undang-undang baru yang komprehensif digubal bagi menggantikannya bagi menangani ancaman keselamatan negara (termasuk keganasan), tetapi dengan peruntukan yang sejajar dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Hasmy berkata, suruhanjaya itu mengalu-alukan dan menyokong usaha Perdana Menteri 'untuk reformasi demokrasi dan untuk melindungi hak asasi manusia serta kebebasan, seperti mana janji beliau dalam perutusan khas Hari Malaysia pada 15 September 2011.'

"Suruhanjaya ambil maklum keperluan polisi anti-terrorisme bagi menentang keganasan dan menjaga keselamatan negara. Namun, suruhanjaya tetap dengan pendiriannya bahawa peruntukan rang undang-undang itu serta pindaan ke atas undang-undang lain yang berkaitan mestilah mencari keseimbangan antara keselamatan negara dan kebebasan asasi serta hak asasi manusia," katanya.

Hasmy berkata, oleh itu, Suhakam menyambut baik rang undang-undang baru ini yang hanya membenarkan polis untuk menahan suspek hingga tempoh 29 hari bagi maksud penyiasatan di mana selepas tempoh tersebut suspek akan dibebaskan atau didakwa mengikut kesalahan keselamatan yang ditetapkan.

Katanya, suruhanjaya itu juga turut mengalu-alukan fasal untuk semakan semula peruntukan mengenai tempoh tahanan pada tiap-tiap lima tahun dan ia hendaklah terhenti berkuatkuasa melainkan jika dilanjutkan.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu berharap beberapa perkara dapat diselesaikan, antaranya kuasa penangkapan dan penahanan di bawah Fasal 4 rang undang-undang itu yang tidak menyediakan pemerhatian kehakiman dalam melanjutkan tempoh tahanan sehingga 28 hari.

Selain, peruntukan membenarkan kuasa memintas komunikasi di bawah Fasal 4(6) rang undang-undang itu yang boleh mencabul kebebasan pribadi dan hak kepada privasi, dan kuasa ini sepatutnya dilaksanakan melalui arahan mahkamah.

"Walau apapun, suruhanjaya memandang ke hadapan penglibatan lanjut dan secara berterusan agensi-agensi kerajaan, khususnya Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan undang-undang lapuk dan tidak relevan dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang yang konsisten dengan prinsip hak asasi manusia sejagat, seterusnya mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini.

"Dalam melaksana fungsinya sebagai sebuah institusi hak asasi manusia nasional, Suhakam akan terus memantau pelaksanaan undang-undang baru serta undang-undang relevan yang dipinda bagi memastikan bahawa mereka mematuhi prinsip-prinsip dan norma hak asasi manusia antarabangsa khususnya Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan